KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir berkata hasil kajian mekanisme bagi mencapai matlamat pengurangan kadar dan pemansuhan tol lebuh raya di negara ini akan dibentang kepada Kabinet pada Mei 2019.
Beliau berkata kajian mekanisme berkenaan akan dilaksanakan jururunding audit bebas bertauliah yang akan dilantik pada Januari 2019, bagi membantu kerajaan mencari mekanisme secara jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Jemaah menteri, pada 31 Okt lalu, setelah menimbang hala tuju industri lebuh raya bertol, telah bersetuju JKR diberi tempoh enam bulan untuk mengemukakan cadangan mekanisme terbaik untuk capai matlamat berkenaan.
“Pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia sedang dalam proses melantik jururunding bagi menjalankan kajian hala tuju lebuh raya bertol di Malaysia ini,” katanya menjawab soalan Senator Mohamad Imran Abd Hamid iaitu bilakah manifesto Pakatan Harapan (PH) mengenai penghapusan kutipan tol boleh dilaksanakan, pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.
Mohd Anuar turut berkata jururunding audit bebas bertauliah itu akan diberikan tugas besar dan perlu menjalankan kajian itu dengan penuh tanggungjawab bagi memenuhi hasrat kerajaan dan rakyat.
Menurut beliau, kementeriannya serius bagi menjalankan tanggungjawab mengkaji pengurangan kadar dan pemasuhan kadar tol dan sebab itulah Bengkel Hala Tuju Industri Lebuh Raya telah dianjurkan pada September lepas di kementerian yang melibatkan Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Mohd Anuar berkata walaupun kerajaan sentiasa berusaha untuk mengurangkan kadar dan memansuhkan tol lebuh raya, ia hanya akan dapat dilaksanakan apabila kewangan kerajaan telah stabil dan mengizinkan.
“Sebelum itu (kewangan kerajaan stabil dan mengizinkan), sebarang tindakan mengejut tidak akan beri kebaikan dan faedah kepada survival negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial