AM

Parlimen: Penjualan nombor plat khas jana lebih pendapatan kepada kerajaan

19/11/2018 12:15 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Penjualan nombor plat khas kenderaan yang dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kerajaan bakal menjana lebih pendapatan kepada tabung kerajaan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Mengambil contoh nombor siri plat 'Malaysia' yang diperkenal Ogos lalu, beliau berkata kerajaan menjana RM13 juta hasil penjualan nombor siri itu.

"Bagi nombor siri 'Malaysia 1' sahaja, kerajaan menjana RM1,111,111," katanya menjawab soalan  Ma'mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Ma'mun bertanya sama ada nombor pendaftaran kenderaan istimewa yang selalu mendapat permintaan tinggi dapat dikenakan harga siling dalam pembelian terbuka kepada orang ramai.

Loke turut mengulangi bahawa nombor pendaftaran khas tidak lagi akan diberi kepada badan bukan kerajaan (NGO) atau pihak persendirian.

Katanya dasar baharu menetapkan semua nombor pendaftaran khas akan dikeluarkan oleh JPJ dan kerajaan sahaja.

"Sebelum ini apabila mereka (NGO dan persendirian) membuat permohonan, kerajaan benarkan mereka bayar RM1 juta kepada kerajaan padahal satu siri nombor boleh menjana mungkin RM10 juta, dan itu menyebabkan kerajaan ketirisan RM9 juta," katanya sambil menegaskan kerajaan tidak bercadang menetapkan harga siling bagi nombor pendaftaran kenderaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan