Memanah: Khairul terlepas peluang raih gelaran dunia [ 3h ago ]

Anih berhad tingkat rondaan pada musim tengkujuh

Tarikh kemaskini: 18/11/2018
KUANTAN, 18 Nov (Bernama) -- Pemegang konsesi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) dan Lebuh Raya Kuala Lumpuk-Karak, Anih Berhad meningkatkan rondaan pada musim tengkujuh sebagai langkah berwaspada terhadap bencana.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata rondaan itu bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku seperti banjir yang boleh mendatangkan risiko kepada pengguna yang melalui lebuh raya itu.

"Pihak konsesi ini juga sudah mengenal pasti kawasan yang berisiko dinaiki air pada musim tengkujuh berdasarkan pengalaman lalu dan rondaan sudah pasti akan lebih tertumpu di kawasan tersebut.

"Kekerapan yang lebih banyak pada musim tengkujuh juga membolehkan maklumat real time disampaikan kepada pusat operasi dan diuar-uarkan kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Timur dan LPT1 di Plaza Tol Kuantan di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LLM Datuk Mohd Shuhaimi Hassan dan Pengarah Eksekutif Anih Berhad Datuk Nik Fauzi Nik Hussein.

Baru berkata selain maklumat daripada peronda, maklumat berkaitan bencana akibat musim tengkujuh juga diperoleh menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di beberapa lokasi sepanjang lebuh raya.

"LLM juga mempunyai trafic management centre yang menerima maklumat daripada seluruh lebuh raya dan ini juga menjadi satu medium penyebaran maklumat banjir.

"Jika berlaku banjir, pihak konsesi telah mempunyai crisis team untuk menghadapinya, dengan dibantu agensi atau jabatan lain yang terlibat," katanya.

Baru menambah, beliau juga mengalu-alukan penyebaran maklumat berkaitan bencana daripada orang awam yang boleh berbuat demikian menerusi laman sosial LLM atau syarikat konsesi.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu