malay english mandarin arabic espanol fb tw ig

Graduan perlu bijak guna media baharu - Sultanah Terengganu

Tarikh kemaskini: 17/11/2018
 

KUALA NERUS, 17 Nov (Bernama) – Graduan diingatkan supaya memanfaatkan penggunaan media baharu demi kebaikan ummah dan bukannya memecah belah serta memudaratkan masyarakat titah Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Baginda turut menasihatkan golongan itu agar berfikiran lebih kritis dan bijak menilai setiap perkara baharu yang dibawa oleh media berkenaan.

"Penggunaan media baharu pada masa kini berkembang dengan begitu pesat. Oleh itu, beta mahu para graduan menggunakan platform ini sebagai ruang menyatukan ummah. Setiap isu dan perkara yang timbul juga perlu dinilai secara objektif.

“Hal ini secara tidak langsung dapat mengukuhkan jati diri para graduan yang menjadi contoh kepada masyarakat. Selain itu, beta juga menasihatkan para graduan supaya mengelak daripada terjebak dengan masalah moral dan gejala sosial yang semakin merebak termasuk di kalangan golongan berpendidikan tinggi," titah Sultanah Nur Zahirah.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Majlis Idul Ilmi (Konvokesyen) UniSZA Kali Ke-10 di Dewan Al Muktafi Billah Shah, di sini, hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan berangkat ke majlis itu.

Pada majlis itu juga, Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengajian Al- Quran kepada Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad atas jasa baktinya dalam bidang musabaqah tilawah, hafazan dan pentadbiran pusat Maahad Tahfiz Al-Quran.

Majlis Idul Ilmi (Konvokesyen) UniSZA yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini melibatkan seramai 2,836 graduan termasuk penerima Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana, Ijazah Sarjana Muda dan Diploma dalam pelbagai bidang.

-- BERNAMA



 
 
 

       Berita Utama Terdahulu