KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) – Ulama Maghribi, Syeikh Ahmad al-Raysuni, telah dipilih sebagai Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) bagi tempoh 2018-2022, menggantikan Dr Yusuf Al-Qaradhawi, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan KUIS pada Rabu.
Pemilihan itu diadakan bersempena Perhimpunan Agung ke-5 KUIS yang berlangsung dari 3 hingga 7 Nov di Istanbul, Turki.
Lebih 1,500 ulama dan ilmuan dari 80 negara menyertai perhimpunan itu, yang merupakan penyertaan terbesar sejak penubuhan KUIS.
Al-Raysuni, yang juga calon tunggal bagi jawatan tersebut, menerima sokongan 93.4 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota kesatuan itu.
Sejumlah 4.4 peratus anggota KUIS tidak menyokong Al-Raysuni manakala 2.2 peratus dilarang mengundi atas faktor-faktor tertentu.
Turut dipilih empat timbalan kepada jawatan Al-Raysuni, iaitu Sheikh Khairuddin Kahraman (Turki), Ahmad bin Hamad Al-Khalili (Oman), Sheikh Issam El-Bashir (Sudan) dan Habib Salem Saqaf Al-Jufri (Indonesia).
Sebelum ini, Al-Raysuni menyandang jawatan Naib Ketua KUIS bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi, yang menghadiri perhimpunan itu, bagaimanapun tidak mempertahankan jawatannya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan setiausaha politiknya, Syahir Sulaiman, Abdul Hadi membuat keputusan itu setelah mempertimbang keterbatasan komitmen dan kesihatan namun beliau bersedia untuk terus menyumbang idea serta pandangan demi kebaikan KUIS.
KUIS, yang diasaskan Al-Qaradhawi, adalah sebuah badan bukan kerajaan Islam yang menghimpunkan para ulama dari seluruh dunia, termasuk negara minoriti Islam.
Tujuan penubuhan KUIS ialah bagi memelihara identiti Islam yang sebenar serta menguruskan isu berkaitan agama tanpa sebarang pengaruh kerajaan dan institusi swasta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial