Lelaki tempatan ditemukan mati dengan tiga kesan tikaman [ 1h ago ]

Zahid mengaku tidak bersalah atas 45 tuduhan libatkan jumlah RM114 juta

Tarikh kemaskini: 19/10/2018
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 10 tuduhan pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah berjumlah RM42,083,132.99 dan 27 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.

Zahid, 65, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azura Alwi selepas pertuduhan dibacakan satu persatu kepadanya.

Mahkamah membenarkan anggota Parlimen Bagan Datuk itu dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta dengan seorang penjamin dan memerintahkannya menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah memerintahkan Zahid membayar jaminan sebanyak RM1 juta hari ini manakala bakinya sebelum atau pada 26 Okt dan menetapkan 14 Dis untuk sebutan semula kes.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan mengetuai barisan pendakwaan yang dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustafa, P. Kunyalam, T. Deepa Nair dan Nadia Mohd Izhar.

Zahid, bekas Timbalan Perdana Menteri itu diwakili 12 peguam diketuai Hisyam Teh Poh Teik dan dibantu antaranya Datuk Ahmad Zaidi Zainal dan Kitson Foong.

Bagi 10 tuduhan pecah amanah Zahid didakwa sebagai seorang ejen iaitu pemegang amanah Yayasan Akalbudi yang telah diamanahkan wang berjumlah RM20,833,132.99 milik yayasan tersebut telah melakukan pecah amanah jenayah wang tersebut.

Zahid dituduh melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Jalan Bunus, No. 133, Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India, di sini antara 13 Jan 2014 dan 11 Jan 2016 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih 20 tahun, dan sebatan dan hendaklah dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi lapan kes rasuah, mengikut tuduhan ke- 11, Zahid didakwa menerima suapan daripada syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services iaitu sekeping cek Public Islamic Bank Berhad bernombor 109144 bernilai RM250,000 milik syarikat Jogabonito Jewellery & Diamonds melalui Junaith Asharab bin Md Shariff menggunakan akaun Maybank milik Lewis & Co. bernombor 514253526286.

Bagi tuduhan ke-12, beliau didakwa menerima suatu suapan daripada syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services, iaitu 13 keping cek RHB Islamic Bank Berhad bernombor 000016, 000017, 000018, 000019, 000020, 000022, 000023, 000026, 000027, 000028, 000029, 000030 dan 000031 bernilai RM8,000,000 milik syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services melalui Junaith Asharab bin Md Shariff menggunakan akaun Maybank milik Lewis & Co. bernombor 514253526286

Bagi tuduhan ke-13, Zahid didakwa menerima suatu suapan daripada syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services iaitu 10 keping cek RHB Islamic Bank Berhad bernombor 000072, 000073, 000074, 000075, 000076, 000077, 000078, 000079, 000080 dan 000082 bernilai RM5,000,000 milik Berani & Jujur Trading melalui Junaith Asharab bin Md Shariff menggunakan akaun Maybank milik Lewis & Co. bernombor 514253526286.

Zahid didakwa melakukan ketiga-tiga pertuduhan itu sebagai dorongan bagi melakukan suatu transaksi yang dicadangkan berlaku, iaitu membantu syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services untuk mendapatkan projek-projek MyEG di bawah kendalian Kementerian Dalam Negeri Malaysia.

Selain itu, bagi pertuduhan ke-14, presiden UMNO itu dituduh menerima suatu suapan daripada Chew Ben Ben yang merupakan seorang Pengarah di Syarikat Data Sonic Group Berhad, iaitu, sekeping cek Malayan Banking Berhad bernombor 804122 berjumlah RM5,000,000 milik syarikat Sarana Kencana Sdn Bhd melalui akaun Maybank milik Lewis & Co. bernombor 514253526286.

Bagi pertuduhan ke-15, Zahid didakwa menerima suatu suapan daripada Chew Ben Ben yang merupakan seorang Pengarah di Syarikat Data Sonic Group Berhad, iaitu, sekeping cek Malayan Banking Berhad bernombor 804121 berjumlah RM1,000,000 milik syarikat Sarana Kencana Sdn Bhd melalui akaun Maybank milik Lewis & Co. bernombor 514253526286.

Kedua-dua tuduhan itu dilakukan sebagai upah untuk Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri, melakukan apa-apa transaksi yang sebenarnya dengan badan awam itu, iaitu syarikat Data Sonic Technologies Sdn Bhd telah dilantik bagi melaksanakan prolehan Penambahan Pembekalan Cip Pasport Selama 5 Tahun Atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman Biodata Polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) secara rundingan terus di Kementerian Dalam Negeri Malaysia kepada syarikat Data Sonic Technologies Sdn Bhd.

Sementara itu bagi pertuduhan ke-16, dia didakwa menerima suatu suapan daripada Azlan Shah Affril yang merupakan seorang Pengarah di Syarikat Profound Radiance Sdn Bhd, iaitu, sekeping cek Malayan Banking Berhad bernombor 105749 berjumlah RM300,000 milik Syarikat Profound Radiance Sdn Bhd melalui akaun Maybank milik Lewis & Co. bernombor 514253526286.

Pertuduhan ke-17, Zahid didakwa menerima suatu suapan daripada Azlan Shah yang merupakan seorang Pengarah di Syarikat Profound Radiance Sdn Bhd, iaitu, sekeping cek Malayan Banking Berhad bernombor 105773 berjumlah RM1,000,000 milik syarikat Profound Radiance Sdn Bhd melalui akaun Maybank milik Lewis & Co. bernombor 514253526286.

Bagi pertuduhan ke-18, dia dituduh menerima suatu suapan daripada Azlan Shah yang merupakan seorang Pengarah di Syarikat Profound Radiance Sdn Bhd, iaitu, sekeping cek Malayan Banking Berhad bernombor 105792 berjumlah RM700,000 milik syarikat Profound Radiance Sdn Bhd melalui akaun Maybank milik Lewis & Co. bernombor 514253526286.

Zahid didakwa melakukan ketiga-tiga pertuduhan itu sebagai upah untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri melakukan apa-apa transaksi yang sebenarnya dengan badan awam itu, iaitu melantik syarikat Profound Radiance Sdn Bhd, sebagai Pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di Negara Pakistan dan Nepal di Kementerian Dalam Negeri Malaysia.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Malayan Banking Berhad, Cawangan Dataran Maybank, Aras 1, Tower A, Dataran Maybank, No. 1, Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Zahid juga menghadapi 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM72,063,618.15.

Bagi pertuduhan pertama sehingga ke-25, Zahid didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi membabitkan hasil daripada aktiviti haram.

Iaitu dengan memberi arahan untuk mendepositkan wang antara RM600,000 hingga RM9.35 juta ke dalam akaun bernombor 264258871612 dan juga 'AKAUN PELABURAN AM-i' bernombor 264258871605 sebagai Simpanan Tetap, melalui akaun Malayan Banking Berhad milik Tetuan Lewis & Co, Peguambela dan Peguamcara, di mana ia merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Malayan Banking Berhad, cawangan Dataran Maybank, Aras 1, Tower A, No. 1 Jalan Maarof, Bangsar dekat sini antara 27 Mei 2016 hingga 11 April 2018.

Bagi pertuduhan ke-26, Zahid didakwa melakukan kesalahan sama iaitu dengan memberi arahan berhubung pembelian dua buah rumah banglo di Mukim Kajang, Daerah Hulu Langat bernilai RM5.9 juta, menggunakan cek Malayan Banking Berhad milik Tetuan Lewis & Co, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di tempat sama pada 9 Jan 2017.

Bagi pertuduhan ke-27, Zahid, melakukan kesalahan serupa dengan cara mengarahkan Omar Abdullah, 46, untuk mengubah bagi pihak tertuduh wang tunai berjumlah RM6,885.270.20 kepada 30 keping cek yang kemudiannya diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co. untuk tujuan pembelian Simpanan Tetap di Maybank, yang mana ia merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di Marhaba Enterprise Sdn Bhd, LG 1.15, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, dekat sini pada 29 Mac 2016 dan 15 Julai 2016.

Pendakwaan untuk kesemua pertuduhan berkenaan adalah mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tiga jurubahasa mahkamah mengambil masa hampir sejam membacakan setiap satu pertuduhan terhadap Zahid yang berdiri dalam kandang tertuduh yang sekali sekala menoleh ke belakang ke arah tempat duduk anggota keluarganya serta pemimpin UMNO yang hadir.

Hisyam yang berada di tepi Zahid turut meneliti satu persatu pertuduhan ketika jurubahasa membaca pertuduhan berkenaan terhadap anak guamnya.

Terdahulu, Sri Ram membuat tawaran ikat jamin sebanyak RM2 juta bagi Zahid dan Hisyam tidak membantah jumlah itu dan berkata jumlah itu adalah adil dan munasabah, namun beliau meminta supaya jumlah itu dibayar secara ansuran sebanyak RM1 juta hari ini dan baki dalam tempoh dua minggu atau sebelum bulan November.

Sri Ram kemudian memberitahu kepada mahkamah bahawa dia menerima aduan daripada peguam jenayah yang mempersoalkan mengapa ikat jamin orang yang dituduh dibenarkan dibayar dengan ansuran.

"Selepas kejadian dua bulan kebelakangan, di mana tertuduh lain telah dibenarkan membayar ikat jamin, saya telah dihujani soalan oleh peguam jenayah mengenai perkara itu kerana mereka (tertuduh) perlu membayar sekaligus pada hari yang sama. Saya benar-benar tidak tahu bagaimana untuk menjawabnya.

"Sepatutnya tidak ada pengecualian. Mereka perlu menyediakan jumlah jaminan, jika tidak, mereka mungkin ditahan," katanya sambil menambah bahawa Zahid tidak seharusnya diberi layanan istimewa berbanding tertuduh lain.

“Tertuduh tidak seharusnya dilayan berbeza daripada tertuduh lain yang pernah hadir di hadapan anda dan Yang Arif harus menolak permintaan membayar ikan jamin secara ansuran,” katanya.

Hisyam menjawab bahawa semua orang adalah sama di bawah undang-undang berdasarkan Artikel 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menyentuh kes membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor di mana mereka dibenarkan membayar ikat jamin secara ansuran.

“Tujuan jaminan adalah untuk menjamin kehadiran orang yang dituduh di mahkamah. Permintaan kami agar wang jaminan dibayar secara ansuran adalah adil dan munasabah.

Sri Ram menegaskan bahawa setiap orang adalah sama dari segi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama dan ujian itu adalah bersifat universal dan tidak terpilih dan juga meminta Zahid menyerahkan pasportnya ke mahkamah.

Hisyam menjawab bahawa anak guamnya tiada risiko untuk terbang, Sri Ram kemudian mencelah “pihak pembela terdahulu merujuk kepada kes Najib dan Rosmah. Dalam kes itu (Najib dan Rosmah) mereka terpaksa serahkan pasport kepada mahkamah,” dan ini membuatkan hadirin di galeri awam tertawa.

Hakim Azura membenar Zahid diberi jaminan RM2 juta dengan seorang penjamin dan mengarahkan supaya Zahid menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

“Tiada persoalan saya memberi layanan istimewa kepada kepada sesiapa,” kata hakim itu sebelum prosiding berakhir.

Hisyam juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan akan memohon kes itu dipindahklan ke Mahkamah Tinggi dan Sri Ram tidak membantah.

Adalah difahamkan bahawa sahabat keluarga Zahid membayar wang jaminan itu.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu