AM

Tol: kerajaan kaji alternatif kurangkan beban rakyat

18/10/2018 11:26 AM

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) — Kerajaan sedang mengkaji alternatif terbaik bagi mengurangkan beban rakyat berhubung isu tol, selepas penghapusannya ditangguhkan.

Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata ini termasuk cadangan merendahkan kadar bayaran tol, mewujudkan kadar sama rata dan memberi diskaun tertentu pada waktu bukan puncak.

“Mungkin juga kita tidak akan naikkan harga tol untuk tempoh tertentu, ini dalam perbincangan buat masa sekarang,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Muslimin Yahaya (PH-Sungai Besar) yang ingin tahu langkah kerajaan untuk pastikan tol dihapuskan sebagaimana janji Pakatan Harapan di dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14.

Baru juga sekali lagi menegaskan bahawa secara dasarnya kerajaan telah memutuskan bahawa tol tidak akan dihapuskan sehingga keadaan kewangan negara distabilkan ke peringkat ‘sihat’.

Menjawab soalan asal Muslimin mengenai jumlah tol yang dicadang di lebuh raya West Coast Expressway (WCE) yang menghubungkan Banting dan Taiping sepanjang 233 kilometer yang sedang dibina, Baru berkata ia melibatkan jumlah keseluruhan 20 plaza tol.

“Kaedah kutipan tol yang akan digunakan ialah sistem kutipan tol tertutup di mana enam plaza tol terletak di laluan utama dan 14 lagi di persimpangan bertingkat,” katanya.

Beliau berkata ia juga melibatkan tempoh konsesi selama 50 tahun bermula tarikh perjanjian konsesi dengan syarikat WCE Sdn Bhd yang ditandatangani pada 2 Jan 2013, berkuat kuasa. 

Katanya kemajuan pembinaan lebuh raya terbabit ialah 60 peratus dan dijangka dibuka berperingkat mulai tahun hadapan dan sepenuhnya pada 2022.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan