AM

MED akan bincang cadangan projek pesawat Asia dengan Jepun

16/10/2018 06:14 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) – Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) merancang untuk mengadakan mesyuarat dengan kerajaan Jepun bagi membincangkan cadangan membina pesawat Asia.

Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, Malaysia akan menyumbang dari segi komponen pembuatan bagi pesawat Asia yang dicadangkan itu.

Beliau berkata, mesyuarat pertama mengenai projek kapal terbang Asia itu dijangka diadakan di Jepun pada penghujung November ini.

“Idea ini bukan dari Malaysia sebaliknya ia dicetuskan oleh kerajaan Jepun sendiri. Mereka sebenarnya menjemput kita untuk mempertimbangkan penyertaan dalam projek pesawat Asia.

“Kita mempunyai pangkalan di sini berkaitan apa yang kita boleh lakukan untuk menyolong industri kapal terbang global, seperti CTRM (Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd) yang membekalkan komponen peringkat kedua kepada Airbus,” katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia 2018, anjuran Kingsley Advisory & Strategic Initiatives Institute di sini, hari ini.

Mohd Redzuan berkata, CTRM akan menjadi projek yang dipanggil pangkalan, dan kerajaan mungkin membuka lebih banyak kemudahan sekiranya projek Jepun itu direalisasikan.

“Kita tidak menyediakan pelan tindakan yang boleh diperkatakan. Hanya satu idea yang dicetuskan oleh kerajaan Jepun untuk membina pesawat Asia.

“Saya tidak tahu berapa banyak negara (yang akan menyertai projek ini). Saya tidak dapat memberi banyak maklumat kepada anda kerana ia (masih) di peringkat idea,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan