Trump pilih ketua perunding tebusan ganti Bolton [ 10m ago ]

TM kerjasama dengan Tenderin Digitalkan proses pemerolehan

Tarikh kemaskini: 04/10/2018
KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Tenderin Sdn Bhd (Tenderin) bekerjasama menubuhkan Lapasar, antara inisiatif ‘Go Digital’ TM untuk mendigitalkan proses pemerolehannya.

Lapasar adalah platform pemerolehan dalam talian perniagaan ke perniagaan (B2B) dibangunkan oleh Tenderin, syarikat pemula niaga tempatan yang membolehkan TM membeli bekalan am pejabat untuk operasi perniagaannya.

Dalam satu kenyataan hari ini, TM menyebut, Lapasar menawarkan e-pemerolehan yang komprehensif dalam talian dan platform dalam aplikasi (on-the-app) dengan perbandingan harga pada masa sebenar termasuk fungsi ‘troli beli belah dan daftar keluar (shopping-cart and checkout) yang banyak digunakan di ruang pasaran (marketplaces) perniagaan kepada pelanggan

Lapasar juga menyediakan TM dengan keupayaan pemerolehan digital yang memenuhi tadbir urus korporatnya, sambil meningkatkan keberkesanan dan keselesaan operasi pemerolehannya dalam persekitaran terkawal.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TM, Datuk Bazlan Osman, berkata kerjasama itu menunjukkan keterbukaan TM dan kesediaan untuk menyokong syarikat pemula niaga tekonologi seperti Tenderin dengan bekerjasama untuk menguji serta menyempurnakan penyelesaian digital dan inovasi.

"Dengan menggunakan Lapasar, kami mengurangkan kitaran masa pemerolehan untuk bayar dan proses penghantaran sebanyak 80 peratus serta menghapuskan terbitan dan kelulusan tempahan belian manual, pada masa sama membeli bekalan dalam talian pada harga lebih rendah yang akhirnya memberikan penjimatan kos yang ketara,” katanya.

Tambahnya, langkah itu sejajar dengan Porgram Penambahbaikan Prestasi TM 2018 bagi memperbaiki aliran tunai syarikat dan meningkatkan produktiviti.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu