AM

Keputusan isu hapus tol diketahui dua atau tiga bulan lagi

04/10/2018 05:32 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Keputusan berhubung isu penghapusan kutipan tol lebuh raya akan diketahui dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Beliau berkata ketika ini pihaknya sudah menerima beberapa cadangan daripada syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat dan akan menilai semua cadangan berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan.

“Masa sekarang kita masih berunding, mencari satu jalan yang saling memanfaatkan  kepada pihak  berkepentingan dan kerajaan baharu. Apa yang nanti diputuskan cara baiknya yang diterima semua pihak berkepentingan. Saya percaya itu akan dilaksanakan. 

“Saya difahamkan semua pemegang berkepentingan bersikap positif  (ekonomi) terhadap kedudukan kita sekarang. Justeru itu mereka sangat memaham, kita harap akan ada persefahaman dan kesimpulan bersama serta persetujuan bersama yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penghargaan ‘Man-Hours Without Lost-Time Injury’ (LTI) bagi projek-projek lebuh raya dalam pembinaan, di Susur Lebuh Raya Bandar Mahkota Cheras.

Katanya antara cadangan yang diberikan syarikat konsesi termasuklah pemberian rebat, memanjangkan tempoh konsesi lebuh raya dan pemberian diskaun.

Dalam perkembangan lain, Baru berkata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi beliau berhubung laporan terhadap setiausaha politiknya yang didakwa berkaitan rasuah dan salah guna kuasa. 

“Dia (Anwar) dah telefon saya dan bertanyakan perkara itu, dan saya katakan kita sudah buat satu kenyataan akhbar bahawa kita biarkan dia disiasat pihak berkuasa. Jadi kita biarkan sahaja siasatan ini dilakukan dahulu,” katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan Ahmad Syukri Che Ab Razab membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa seorang setiausaha politik di sebuah kementerian.

Ahmad Syukri mendakwa individu terbabit menawarkan kontrak bernilai RM20,000 dan peruntukan RM300,000 dalam satu mesyuarat dengan pemimpin tempatan pada 1 Sept lalu di mana individu berkenaan bertanding untuk jawatan ketua cabang serta merebut jawatan dalam kepimpinan pusat.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan penghargaan kepada enam syarikat konsesi atas kejayaan  mencatatkan keseluruhan 35.7 juta jam bebas kecederaan  (LTI)  bagi projek-projek lebuh raya dalam pembinaan, bermula dari tarikh pembinaan projek sehingga Julai lepas.

Syarikat terbabit ialah EKVE Sdn Bhd (Lebuhraya EKVE), MAJU Expressway Sdn BHd (Lebuhraya MEX 2), KESTURI Sdn Bhd (Lebuhraya SPE), PROLINTAS Sdn BHd (Lebuhraya SUKE dan DASH), West Coast Expressway Sdn Bhd (Lebuhraya WCE) dan PLUS Malaysia Berhad (persimpangan bertingkat Bandar Serenia).

Dalam ucapannya, Baru berkata jumlah jam bebas kecederaan yang tinggi itu menunjukkan komitmen yang diberikan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia dalam memastikan syarikat konsesi mematuhi garis panduan yang ditetapkan  berkaitan aspek keselamatan di tapak bina. 

“Penekanan kepada amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan ini juga akan turut memberi impak signifikan terhadap sektor pembinaan negara yang dipacu kementerian dalam industri pembinaan lebuh raya,” katanya.

LTI (Lost-Time Injury)  merupakan kecederaan berterusan oleh pekerja yang mendorong kepada kehilangan masa produktif sehingga menjejaskan tugasan dan kemajuan keseluruhan projek pembinaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan