KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Pasukan sukarelawan bencana di Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur akan ditubuhkan bagi memberi bantuan awal sekiranya berlaku sebarang bencana di kawasan masing-masing.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata pasukan sukarelawan itu yang terdiri daripada penduduk setempat akan menerima latihan daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai langkah-langkah yang perlu diambil semasa berlaku bencana.
“Kejadian bencana seperti banjir, pokok tumbang, tanah runtuh dan ribut yang melanda di ibu kota sering menyebabkan kerosakan harta benda, kecederaan dan kematian.
“Justeru dengan adanya pasukan sukarelawan yang terdiri daripada penduduk setempat dapat memberi bantuan kecemasan kepada mangsa sementara menunggu pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat Pengurusan Bencana di Kuala Lumpur kepada anggota Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Yeoh, yang juga anggota Parlimen Segambut, berkata cadangan penubuhan pasukan itu yang turut mendapat persetujuan para wakil anggota Parlimen akan dibincangkan pada mesyuarat bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh yang akan melanda negara tidak lama lagi.
Beliau berkata DBKL mempunyai pasukan penyelamat yang mencukupi bagi memberi bantuan semasa berlaku bencana namun faktor kesesakan lalu lintas di sekitar Kuala Lumpur menyebabkan mereka tiba lewat di tempat kejadian bencana.
Sementara itu, anggota Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil turut menggesa pihak DBKL segera memaklumkan anggota Parlimen kawasan yang sering mengalami kejadian banjir bagi memudahkan persiapan awal dilakukan.
“Kejadian banjir di sekitar Kuala Lumpur ini berlaku disebabkan sistem pembentungan yang tidak cekap serta projek-projek pembangunan yang giat dijalankan.
“Sekiranya anggota Parlimen mendapat makluman awal mengenai kawasan yang sering mengalami banjir, langkah-langkah awal untuk tangani kejadian banjir ini boleh diambil,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, bagi menangani kejadian pokok tumbang di sekitar ibu kota, DBKL juga perlu mengenalpasti pokok yang perlu penggantian dan ditanam baharu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial