KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Universiti UCSI menganjurkan acara 'Mari Bersama Sebarkan Keamanan’ bagi memberi kesedaran dan peluang kepada generasi muda menyuarakan pendapat untuk mencapai keamanan dan perpaduan.
Naib Presiden Hal Ehwal Korporat Kumpulan UCSI, Leong Sat Sing berkata, acara diadakan sebagai usaha mendidik pelajar dan kakitangan untuk menghargai keistimewaan dalam perbezaan budaya dan kepercayaan.
“Di UCSI, 30 peratus adalah pelajar antarabangsa dan diharapkan acara ini akan memberi kesan yang positif untuk mereka melihat sendiri walaupun rakyat Malaysia terdiri daripada berbilang bangsa dan agama, tetapi masih boleh bersatu dan hidup dengan aman,” katanya kepada Bernama.
Ujarnya, tembok penghalang yang mencipta jurang hubungan dan komunikasi harus diruntuhkan dan acara ini menjadi platform buat warga UCSI berkongsi pendapat supaya lebih memahami antara satu sama lain.
Misi keamanan itu turut mendapat kerjasama syarikat Zubedy Sdn Bhd yang mengadakan kempen derma darah bersama wakil pemimpin daripada pelbagai latar belakang.
Program itu bertujuan menyampaikan mesej bahawa setiap manusia mempunyai warna darah yang sama walaupun berlainan rupa, agama dan budaya.
Eksekutif Pembangunan Perniagaan Zubedy Sdn Bhd, Annur Ezzati berkata, aktiviti itu menjadi simbol perpaduan kerana tanpa mengira bangsa dan kepercayaan, masyarakat bersatu menderma darah untuk menyelamatkan nyawa seseorang yang tidak dikenali.
Tambahnya, kolaborasi tersebut memberi gambaran baik kepada pelajar asing terhadap cara hidup masyarakat Malaysia yang bertoleransi dan saling menghormati.
Aktiviti lain yang diadakan ialah forum, pembentangan dan persembahan khas dengan mesej keamanan dan perpaduan oleh pelajar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial