ICC to determine after October if Rohingya probe needed [ 7m ago ]

Melaka bangun modal insan penuhi keperluan tenaga mahir

Tarikh kemaskini: 08/09/2018
MELAKA, 8 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka fokus membangun modal insan di negeri ini dalam usaha memenuhi keperluan tenaga mahir di negeri tersebut, kata Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri Noor Effendi Ahmad.

Beliau berkata seiring dengan perkembangan teknologi serta kemasukan pelaburan menggalakkan, keperluan tenaga mahir di Melaka juga seluruh negara semakin meningkat saban tahun, justeru rakyat terutama generasi muda perlu mengambil peluang daripada usaha kerajaan itu.

"Pendidikan tinggi adalah instrumen pengislahan bangsa yang paling penting untuk sesebuah negara, segala pencapaian memberangsangkan negara adalah ekoran pemimpin kita yang sentiasa membuka seluas-luasnya peluang dalam pengajian tinggi.

“Matlamat utama kerajaan bagi memastikan semua rakyat terutama generasi muda mendapat ruang dan peluang pendidikan daripada aspek akademik atau pun latihan kemahiran," katanya berucap merasmikan Istiadat Konvokesyen Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) ke-16 Ayer Keroh di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 718 graduan KAYM menerima diploma dan sijil masing-masing. Turut hadir Ketua Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi.

Bernama sebelum ini melaporkan Melaka merekodkan pelaburan berjumlah RM22.5 bilion dalam tempoh empat setengah tahun ini dan pelaburan terbesar dibuat Edra Power berjumlah RM4.5 bilion bagi membina loji kuasa turbin gas berkapasiti 1,500 megawatt, menggunakan 1,200 pekerja sepanjang tempoh pembinaannya.

Sementara itu, Saroni berkata KAYM komited untuk membangunkan modal insan selaras dengan hasrat kerajaan negeri dengan menawarkan lebih 30 program pengajian terkini, diiktiraf dan berkualiti, antaranya bidang teknologi media, kejuruteraan, pengurusan perniagaan dan bidang aeronautik.

"Dalam masa sama, kita juga berhasrat menambah program dalam bidang keagamaan termasuk Undang-undang Islam dan bahasa Arab serta mencari rakan kongsi dengan universiti luar negara yang mana pengajiannya dikendalikan di Malaysia.

“Kita jangka akan melaksanakannya pada tahun depan. Sehingga kini, KAYM telah melahirkan lebih 21,000 graduan dalam pelbagai bidang yang berkualiti, berinovasi dan berketrampilan tinggi," katanya.

-- BERNAMA




BEYOND PARADIGM SUMMIT 2019 - 17-18 July, MITEC KL | 20-21 July, Pullman, Kuching

       Berita Utama Terdahulu