AM

37,282 saman dikeluarkan sepanjang Op Khas samseng jalanan

19/08/2018 01:49 PM

SEREMBAN, 19 Ogos (Bernama) – Sebanyak 37,282 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik melibatkan motosikal dan kereta dalam Op Khas Samseng Jalanan dari 1 Ogos sehingga semalam, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Sharul Othman Mansor.

Beliau berkata sepanjang operasi itu sebanyak 1,775 kenderaan telah disita melibatkan 1,648 motosikal dan 127 buah kereta.

"Antara kesalahan yang dilakukan adalah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan mengubah kenderaan tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

"Sebanyak 626 tangkapan dilakukan bersabit kesalahan di bawah 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam sidang media berhubung Op Khas Samseng Jalanan di sini, malam tadi.

Beliau berkata Kuala Lumpur merekodkan tangkapan tertinggi sebanyak 335 diikuti Pulau Pinang dengan 115 tangkapan.

Beliau berkata tangkapan yang dilakukan mengikut pecahan umur melibatkan 228 berumur 18 tahun ke atas dan 194 bawah 18 tahun.

Sharul Othman berkata sepanjang operasi berkenaan sebanyak 53 individu turut ditahan kerana didapati positif dadah.

Sementara itu, dalam Op Samseng Jalanan yang dilakukan awal pagi ini  di Plaza Tol Senawang, sebanyak 122 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu, tiada cukai jalan, insurans tamat tempoh dan mengubah suai kenderaan.

Pemeriksaan dilakukan terhadap 60 buah motosikal dan pihak polis turut menyita 21 buah motosikal dalam operasi berkenaan.

Ujian saringan air kencing dijalankan terhadap 35 individu dan lima daripadanya didapati positif dadah jenis ganja.

Operasi yang berlangsung selama empat jam bermula 1 pagi itu, disertai 41 pegawai dan anggota polis dengan bantuan 10 anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan sembilan anggota penguat kuasa PLUS.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan