AM

Kereta nasional Ke-3 tidak bercanggah polisi kurangkan kesesakan jalan raya

15/08/2018 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Projek kereta nasional ketiga tidak bercanggah dengan polisi kerajaan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di negara ini, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ignatius Darell Leiking.

Beliau berkata ini kerana kerajaan akan meneruskan rancangan menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih efisien untuk mengurangkan kesesakan di samping menjadikan industri automotif lebih berdaya saing.

"Saya yakin dengan menggariskan polisi baharu dan menyediakan pengangkutan awam yang efisien, rakyat akan memilih menggunakan kemudahan awam yang lebih efektif," katanya ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Rozman Isli (BN-Labuan) yang mempersoalkan rancangan kerajaan untuk melancarkan kereta nasional ketiga yang disifatkan bercanggah dengan polisi kerajaan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di kawasan bandar raya utama negara.

Menjawab soalan Rozman mengenai tarikh pelancaran kereta nasional itu, beliau berkata rancangan tersebut masih pada peringkat cadangan.

Leiking berkata jika pelancaran itu menjadi nyata, selain daripada insentif percukaian, insentif menarik lain akan diberikan kepada pengusaha mengikut polisi yang terkandung Dasar Automotif Nasional (NAP) 2018 yang akan diumum kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, menjawab soalan Ahmad Amzad Hashim (PAS-Kuala Terengganu) yang mahu industri kereta nasional ketiga ditumpukan di Pantai Timur berbanding sebelah Pantai Barat sebelum ini, beliau berkata cadangan tersebut akan dipertimbangkan.

"Saya juga gembira jika industri ini ditumpu di kawasan Sabah dan Sarawak. Kita akan pertimbangkan supaya ia digalakkan di kawasan Pantai Timur dan Sabah serta Sarawak," katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah membayangkan untuk memulakan satu lagi projek kereta nasional ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) di Tokyo, Jepun pada Jun lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan