MPT rangka pelbagai langkah untuk Tawau capai status bandaraya [ 7m ago ]

Isu Tenaga Kerja Antara Fokus Exco Melaka G. Saminathan

Tarikh kemaskini: 14/08/2018
G. Saminathan, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka bagi portfolio Perpaduan, Sumber Manusia, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Hal Ehwal Pengguna ketika diwawancara Bernama baru-baru ini. .--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
Oleh Shaidathul Suhana Ros dan P.Pravina

MELAKA Ogos (Bernama) -- Meningkatkan jumlah tenaga kerja tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing. Ini antara fokus G. Saminathan, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka bagi portfolio Perpaduan, Sumber Manusia, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Hal Ehwal Pengguna.

Berdasarkan Data Asas Melaka 2016 (data rasmi terbaharu), Melaka mempunyai kira-kira 400,000 tenaga kerja dan media melaporkan negeri ini mempunyai lebih 80,000 pekerja asing yang bekerja dalam pelbagai bidang terutama sektor pembuatan.

Ini menunjukkan kira-kira satu perempat tenaga kerja di Melaka terdiri daripada tenaga kerja asing,

Saminathan, 33, berkata buat permulaan Kerajaan Negeri Melaka meminta para majikan menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan terlebih dahulu sebelum memilih warga asing bagi mengisi kekosongan jawatan.

Menurut beliau, majikan perlu sedaya upaya mengambil dan menggunakan tenaga kerja tempatan dengan menawarkan gaji kompetitif serta kebajikan yang terbaik.

"Namun kita tiada arahan untuk memberhentikan semua pekerja asing yang sedia ada kerana jika langkah itu diambil, ia akan memberi kesan tidak baik kepada sektor ekonomi dan kita khuatir para majikan akan mengalami kerugian besar jika pekerja asing sedia ada ini diberhentikan.

"Saya berharap agar para majikan di negeri ini memberi keutamaan kepada rakyat Melaka kerana kita yakin graduan dan anak muda kita juga berkebolehan tinggi dan tentunya permintaan (gaji) mereka munasabah seiring dengan kos sara hidup mereka," katanya dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini.
G Saminathan, Exco Negeri Melaka portfolio Perpaduan, Sumber Manusia, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan Hal Ehwal Pengguna. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA?



PELABURAN

Data Asas Melaka 2016 juga menunjukkan Melaka menerima pelaburan lebih RM1.35 bilion pada 2016 iaitu RM679.28 juta pelaburan tempatan dan lebih RM675.49 juta pelaburan asing.

"Pelaburan seperti ini membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat. Kerajaan negeri secara berterusan mengalakkan lebih banyak pelabur tempatan dan asing melabur di negeri ini.

Ïnisiatif berkenaan dapat mencipta peluang pekerjaan khusus kepada rakyat tempatan di negeri ini sekali gus mengurangkan kadar pengangguran,” katanya.

Berdasarkan Laporan Sosioekonomi Negeri 2017, Jabatan Perangkaan Malaysia yang diterbitkan pada 26 Julai lalu, Melaka adalah negeri yang merekodkan kadar pengangguran terendah pada tahun lepas iaitu hanya 1.0 peratus.

Anggota Dewan Undangan Negeri Gadek itu berkata selain pertambahan pelaburan, kehadiran pelancong ke negeri ini juga membantu meningkatkan peluang pekerjaan dan mengalakkan graduan dan anak muda mencari pekerjaan di negeri ini daripada berhijrah ke tempat lain.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya mengenal pasti terdapat beberapa graduan dan anak muda di daerah negeri ini masih menghadapi kesukaran untuk mendapat pekerjaan.

"Banyak aduan yang saya terima dari penduduk di Gadek mengenai perkara itu dan bagi mengatasi masalah tersebut, saya berbincang dengan pihak A’Famosa Resort, Hicom Pegoh Industrial Park dan beberapa majikan di Pulau Sebang agar mereka memberi keutamaan kepada rakyat tempatan.

"Selain itu, kita juga mengadakan pertemuan dengan SWM Environment Sdn Bhd. Ketua Menteri Melaka Adly Zahari juga bersetuju dengan penawaran syarikat tersebut untuk memberi sijil penghargaan kepada pekerja yang rajin dan terbaik sebagai tanda menghargai jasa mereka dan semangat baharu agar mereka merasa tidak rasa terpinggir," katanya.



SST

Ketika diminta menyentuh tentang langkah kerajaan memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Saminathan berharap supaya rakyat tidak salah faham tentang perlaksanaan cukai itu.

Beliau mengakui sememangnya akan terdapat kenaikan terhadap harga barang berbanding harga tanpa cukai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada masa ini, tetapi harga barang itu tidak sepatutnya lebih tinggi daripada harga ketika ia dikenakan GST.

“Selepas cukai GST dihapuskan harga barang menjadi sifar cukai, dari sifar cukai itu harga barang akan dikenakan cukai SST. Jangan salah faham bahawa cukai GST digantikan terus dengan cukai SST kerana kiraan dua cukai ini jauh berbeza.

"Tetapi saya amat risau tindakan segelintir pihak yang akan sengaja menggunakan nama cukai SST ini untuk menaikkan harga barang. Terutamanya pemilik kedai akan melakukan sedemikian dengan memberi alasan kerajaan kenakan cukai dan terpaksa naikkan harga barang,” katanya.



PANTAU HARGA

Saminathan berkata bagi mengelakkan situasi itu berlaku pihaknya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) akan melakukan pemantauan harga secara kerap di seluruh negeri Melaka.

“Setiap minggu saya akan berjumpa dengan pihak KPDNKK dan mereka perlu beritahu saya di mana membuat pemantauan dan hasil pemantauan harga dan sebagainya, “ tambahnya.

Beliau juga akan meminta pihak KPDNKK untuk membuat bandingan harga dari pengeluar hingga kedai runcit untuk mengetahui di peringkat mana harga yang tidak sepatutnya itu meningkat memandangkan satu pihak sahaja yang akan dikenakan cukai dalam SST ini.

“Cukai SST mengecualikan orang kurang upaya (OKU), warga emas, golongan miskin dan kanak-kanak membayar cukai berbanding GST yang melibatkan semua golongan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata seperti dijanjikan Pakatan Harapan memansuhkan GST, maka harga barang sepatutnya akan menjadi lebih murah berbanding ketika GST dan ini perlu diketahui oleh rakyat.



Disunting oleh Melati Mohd Ariff

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu