AM

P.Pinang diminta kaji semula teknik, SoP penurapan semula jalan raya

08/08/2018 05:46 PM

GEORGE TOWN, 8 Ogos (Bernama) -- Kerajaan negeri Pulau Pinang diminta mengkaji semula teknik dan prosedur operasi standard (SOP) penurapan semula jalan raya yang hanya menurap  permukaan jalan raya sedia ada.

Oh Ah Teong (PH-Batu Lancang) berkata teknik yang digunakan sekarang ialah menurap jalan raya sedia ada dengan lapisan baharu setebal enam sentimeter (cm) dan ia diguna pakai berkali-kali.

"Saya khuatir selepas beberapa kali jalan yang sama ditar semula, jalan raya itu akan menjadi semakin tebal setiap kali.

“Jika jalan yang sedia ada ditar setiap lima tahun dengan menambah ketebalan sebanyak 6 cm, dalam masa 50 tahun ia akan menjadi 60 cm atau lebih kurang dua kaki. Ini adalah 10 kali ganda ketebalan asal," katanya ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini. 

Beliau berkata sekiranya keadaan itu berlarutan Pulau Pinang bakal berdepan risiko banjir besar dalam jangka masa 50 tahun akan datang.

"Mengikut angka yang diterima daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Pulau Pinang jumlah keluasan jalan raya di bahagian pulau ialah sebanyak 2,636 hektar. Mengikut perkiraan saya, jika jalan-jalan itu diturap dengan teknik 'milling', ia dapat menampung 15,816,000 liter air hujan. 

"Oleh kerana jalan raya kini hanya diturap semula, sebanyak 15,816,000 liter air hujan ini tidak dapat ditampung dan akan mengalir ke kawasan berdekatan ataupun ke kawasan yang lebih rendah. Satu kolam renang bersaiz Olimpik mempunyai kedalaman 25x50x2m dapat menampung sebanyak 2,500,000 liter air. Oleh itu, 15,816,000 liter air hujan bersamaan dengan 6,326.4 kolam renang bersaiz Olimpik," katanya.

Ong berkata kualiti jalan tar di negeri itu juga kurang memuaskan berbanding negara jiran seperti Singapura, Korea, Jepun dan China yang lebih kukuh dan kuat malah tahan lasak sehinggakan kapal terbang boleh mendarat di atas permukaan jalan.

Beliau berkata keadaan itu berbeza dengan jalan tar di Pulau Pinang, setiap kali hujan lebat berlarutan untuk beberapa hari terdapat lopak air dan lubang di atas permukaan tar.

"Kita juga dapat lihat jalan raya di Pulau Pinang, penuh dengan tampalan semula atau 'patch work' dan lopak-lopak. Pada pendapat saya, keadaan ini menunjukkan imej kebelakang pula kerap mengorek jalan-jalan raya dan menampal semula jalan dengan sembarangan dan mencacatkan lagi permukaan jalan," katanya.

Selain itu, Ong berkata pembahagi jalan yang dibuat daripada simen turut menyumbang kepada risiko banjir kerana air hujan tidak dapat meresap. 

"Saya berharap semua pihak yang bertanggungjawab, termasuk dari Jabatan Kerja Raya (JKR), pengusaha kilang tar dan juga syarikat utiliti dapat mengkaji semula masalah-masalah ini dengan teliti dan mencari penyelesaian yang lebih holistik.

“Saya juga mencadangkan JKR menggunakan spesifikasi tar yang lebih berkualiti tinggi supaya Pulau Pinang dapat menjadi satu negeri antarabangsa yang setanding dengan negara-negara maju," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan