EKONOMI

Belanjawan 2019: RM3.652 bil untuk bantuan pendidikan, selenggara bangunan sekolah

02/11/2018 07:44 PM

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) – Kerajaan akan memperuntukkan RM3.652 bilion untuk menyediakan pelbagai bantuan pendidikan, menaiktaraf serta menyelenggara semua sekolah pada tahun 2019, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM2.9 bilion adalah bantuan pendidikan untuk membantu  golongon miskin melalui inisiatif seperti bekalan makanan, buku teks dan bantuan tunai, manakala RM652 juta adalah untuk inisiatif menaiktaraf dan menyelenggara semua sekolah.

“Satu-satunya mekanisme yang terjamin dan mampan bagi mencapai pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi adalah melalui pendidikan  yang lebih berkualiti di semua peringkat,” katanya semasa  membentang Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat hari ini. 

Untuk tujuan penyelenggaraan sekolah, Sekolah Kebangsaan akan menerima peruntukan terbesar berjumlah RM250 juta.

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKT), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Tahfiz masing-masing akan menerima peruntukan RM50 juta. 

Lim berkata Sekolah Pondok yang berdaftar akan menerima RM25 juta manakala Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) atau Conforming School dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) masing-masing akan menerima RM15 juta dan RM12 juta. 

Jumlah peruntukan daripada RM3.652 bilion titu termasuk juga RM100  juta yang diperuntukkan untuk pembinaan semula sekolah daif di seluruh negara manakala pembinaan sekolah tambahan akan dibiayai melalui kaedah pertukaran tanah secara tender terbuka, katanya. 

Semua penyumbang kepada tabung penyelenggaraan sekolah kerajaan dan institusi pengajian tinggi awam di bawah Kementerian Pendidikan akan layak menuntut potongan cukai ke atas sumbangan  mereka dalam pengiraan cukai pendapatan bermula 1 Jan, 2019. 

“Untuk sekolah dan IPT yang lain berdaftar dengan Kementerian Pendidikan boleh memohon untuk potongan cukai berdasarkan kes demi kes,” katanya.

Kementerian Pendidikan adalah penerima peruntukan terbesar dengan jumlah RM60.2 bilion atau 19.1 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan tahun 2019. 

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan