Aksi tidak konsisten Felda United bawa padah [ 8m ago ]

Berita EKONOMI


SP Setia harap kerajaan rendahkan had pembiayaan untuk pembeli rumah

Tarikh kemaskini: 14/08/2019
KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- SP Setia Bhd berharap kerajaan akan menimbangkan untuk menjadikan proses pembiayaan lebih mampu untuk pembeli rumah pertama, khususnya mereka membeli hartanah untuk didiami.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Khor Chap Jen berkata had pembiayaan penting kepada pembeli, kerana ia membolehkan mereka membayar pendahuluan pada kadar lebih rendah apabila membuat pembelian.

“Pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) (oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini) membantu sedikit dari segi terma kadar pembelian, tetapi apa yang lebih penting kepada pembeli adalah had pembiayaan, kerana kebanyakan mereka mampu membayar ansuran.

“Cabaran terbesar untuk mereka adalah bayaran pendahuluan. Jika had pembiayaan lebih rendah, ini bermakna mereka perlu membayar lebih banyak untuk wang pendahuluan,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi kewangan kumpulan itu bagi suku kedua, di sini hari ini.

Khor juga berharap kerajaan persekutuan dan negeri dapat merendahkan had harga untuk pembeli asing bagi membolehkan mereka membeli hartanah di negara ini bagi mengurangkan jumlah hartanah tidak terjual.

“Kami menghargai usaha kerajaan untuk mengurangkan unit yang tidak terjual, yang termasuk Kempen Pemilikan Rumah (HOC), tetapi kami ketika ini berdepan masalah hartanah tidak terjual, terutamanya hartanah berharga tinggi.

“Sebagai contoh, di Selangor, had harga ketika ini ditetapkan pada RM2 juta bagi pembeli asing, dan ia patut diturunkan kepada mungkin RM1 juta selaras dengan negeri-negeri lain. Banyak pembeli asing yang menunjukkan minat kepada pihak kami dan kami patut memanfaatkan peluang itu,” katanya.

Sementara itu, Khor berkata cadangan projek pembangunan SP Setia di Osaka, Jepun, yang pada awalnya dijadual dilancarkan pada akhir tahun ini, sebaliknya akan dilancarkan pada awal tahun depan.

Projek itu melibatkan pembangunan bersepadu di kawasan seluas 1.98 hekar, terletak bersebelahan cawangan beli-belah premium dan berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai .

Nilai pembangunan kasarnya dianggarkan RM1.8 bilion.

Beliau berkata pelan pembangunan syarikat baru sahaja diluluskan dan ketika ini pihaknya sedang membuat persiapan perlu, termasuk penyerahkan pelan bangunan terperinci bagi projek itu.

“Kami mengambil kira dan menimbangkan semua perkara. Jepun akan menganjurkan Olimpik tahun depan, jadi sekiranya kami memulakan pembinaan sekarang, ia akan menjadi terlalu mahal. Jadi kami menjangkakan untuk melancarkan (projek) awal tahun depan.

“Sudah terdapat banyak minat dan pertanyaan diajukan kerana ia amat sesuai untuk mereka yang bekerja di Lapangan Terbang Kansai,” katanya.

-- BERNAMA



       Berita Utama Terdahulu