Kumpulan hak asasi Rohingya gesa masyarakat antarabangsa beri tekanan ke atas Myanmar [ 9m ago ]

Berita AM


89 murid di Johor dijangkiti influenza

Tarikh kemaskini: 12/01/2020
JOHOR BAHRU, 12 Jan -- Seramai 89 murid di negeri ini dijangkiti influenza setakat 1.30 tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) Azman Adnan berkata Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 56 murid diikuti Kulai (15), Tangkak (enam), Kluang (lima), Muar (lima), Batu Pahat (satu) dan Pontian (satu).

Menurutnya berdasarkan data yang diperoleh daripada rawatan kesihatan di pusat kesihatan kerajaan mahupun swasta itu, murid yang dijangkiti terdiri daripada prasekolah serta sekolah rendah dan menengah.

Bagaimanapun, Azman berkata tiada penutupan kelas atau sekolah setakat ini.

"Persekolahan berjalan seperti biasa. Bagi satu atau dua kes perlu ikut prosedur operasi standard (SOP) sekolah iaitu buat pembersihan kelas.

"Manakala, bagi kes yang melibatkan jumlah sehingga memerlukan kelas atau sekolah ditutup (keputusan) akan dibuat bersama pejabat kesihatan berkaitan. Namun, setakat ini di Johor tidak perlu, " katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga telah melakukan tindakan awal bagi menangani isu berkenaan dengan sentiasa berhubung dengan pejabat kesihatan untuk mengetahui maklumat dan tindakan lanjut berhubung perkara itu.

"Surat pekeliling mengenai isu berkenaan juga telah diedar dan kita juga sentiasa menunggu laporan terkini daripada pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah mengenai keadaan murid.

"Malah kita juga memastikan pihak sekolah mempunyai penyaring suhu badan untuk mengesan murid yang demam, " katanya.

Azman berkata murid atau warga sekolah yang mempunyai simptom influenza juga tidak dibenarkan hadir ke sekolah.

"Sekiranya mereka hadir, perlu dibawa pulang dan mendapatkan rawatan di klinik ataupun hospital terdekat. Jika tidak, mereka akan diasingkan di dalam bilik khas atau bilik sakit.

"Begitu juga murid-murid yang tinggal di asrama atau di sekolah berasrama penuh, mereka juga akan diasingkan daripada penghuni asrama yang lain sehingga mereka sembuh sepenuhnya, " katanya.

-- BERNAMA





       Berita Berkaitan

       Berita Utama Terdahulu