Pharmaniaga lantik pengerusi, pengarah baharu [ 4m ago ]

Berita AM


Gunung Bintang berpotensi jadi destinasi ekopelancongan

Tarikh kemaskini: 04/07/2019
Pemandangan Gunung Bintang (Sumber gambar: superaishah.wordpress.com)
KULIM, 4 Julai (Bernama) -- Gunung Bintang yang sudah menjadi antara lokasi popular dalam kalangan ‘kaki hiking’, berpotensi untuk dibangunkan dan diperkenalkan sebagai satu daripada destinasi ekopelancongan di negeri ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim Yeoh Keng Chuan berkata selain menawarkan ketinggian puncak 1,862 meter untuk mereka yang gemar mendaki, kawasan gunung itu juga kaya dengan khazanah alam yang cukup menarik dan sesuai untuk aktiviti riadah yang lain.

Menurutnya, jika kawasan itu dapat dibangunkan dengan infrastruktur dan kemudahan tertentu bagi menarik kedatangan pengunjung, ia mampu memberi manfaat dan menjana ekonomi masyarakat yang berada di sekitarnya.

“Gunung tersebut direkodkan paling tinggi di Kedah dan kawasan puncaknya mempunyai suhu sekitar 18 darjah Celsius, selain terletak berhampiran dengan kawasan tarikan pelancong iaitu Taman Rekreasi Arus Deras Sungai Sedim.

“Jika dibangunkan, saya percaya keperluan tempat makan, barangan kraftangan serta tenaga kerja diperlukan di kawasan itu nanti yang semuanya membuka ruang dan peluang kepada masyarakat setempat menjana ekonomi,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Yeoh berkata antara infrastruktur yang sesuai dibangunkan di kawasan itu ialah rumah-rumah inap dan perkhidmatan kereta kabel yang akan menjadi pilihan bagi mereka yang tidak gemar mendaki gunung.

“Saya sendiri pernah mencadangkan pembinaan kereta kabel kepada Menteri Besar (Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir) beberapa bulan lalu dan beliau memberikan reaksi yang baik terhadap cadangan itu,” katanya.

Sementara itu, seorang malim gunung, Fauziah Abdullah berkata perjalanan ke puncak gunung itu memerlukan masa selama dua hari dan pastinya pendaki perlu bermalam di lokasi tertentu di dalam hutan.

Katanya, jika kemudahan yang sesuai dapat dibangunkan di kawasan itu, ia mampu menarik kedatangan lebih ramai pengunjung yang mendambakan keindahan flora dan fauna di situ.

“Banyak khazanah yang boleh kita lihat seperti tumbuh-tumbuhan serta haiwan liar yang sesekali muncul, saya bersetuju jika lokasi ini dibangunkan dan dipromosikan sebagai produk ekopelancongan kepada orang ramai,” katanya.

Gunung Bintang adalah sebahagian daripada gunung dalam deretan Banjaran Bintang dan ia menjadi titik sempadan bagi negeri Kedah dan Perak.

-- BERNAMA





       Berita Utama Terdahulu