DUNIA

MACRON, KETUA WHO BERI AMARAN DUNIA DIGITAL PENGARUHI KESIHATAN KANAK-KANAK

01/07/2026 11:59 PM

ISTANBUL, 1 Julai (Bernama-Anadolu) -- Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus menggesa supaya peraturan terhadap platform digital diperketatkan, sambil memberi amaran bahawa persekitaran digital semakin mempengaruhi kesihatan dan perkembangan kanak-kanak, lapor Anadolu Ajansi.

"Kanak-kanak dan golongan muda bukan bahan eksperimen, bukan pasaran yang terikat atau komoditi," kata mereka dalam satu kenyataan bersama pada Rabu.

"Bersama-sama, kita boleh dan mesti membentuk persekitaran digital yang melindungi serta menyokong perkembangan sihat mereka," tambah kedua-dua pemimpin itu.

Mereka berkata teknologi digital menawarkan peluang besar dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan dan komunikasi, namun memberi amaran bahawa platform yang tidak dikawal selia dengan baik turut mendedahkan kanak-kanak kepada kandungan berbahaya, maklumat palsu serta pengumpulan data secara berlebihan.

Menurut kenyataan itu, semakin banyak negara termasuk Perancis, Australia, United Kingdom dan Kanada memperkenalkan langkah bagi meningkatkan perlindungan terhadap golongan bawah umur dalam talian.

Macron dan Tedros turut menggesa keperluan ketelusan yang lebih tinggi, reka bentuk platform yang mesra kanak-kanak, penyelidikan bebas serta kerjasama lebih erat antara kerajaan, syarikat teknologi dan institusi kesihatan awam.

Mereka turut menegaskan bahawa pendekatan berwaspada perlu dijadikan panduan dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI) generatif sehingga kesan jangka panjangnya terhadap kanak-kanak dapat difahami dengan lebih jelas.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan