JENAYAH & MAHKAMAH

ANGGOTA POLIS MAUT MOTOSIKAL LANGGAR TAYAR TERCICIR DI LEBUH RAYA

01/07/2026 06:52 PM

BUKIT MERTAJAM, 1 Julai (Bernama) -- Seorang anggota polis maut selepas motosikal ditungganginya melanggar tayar yang dipercayai tercicir daripada sebuah lori di Kilometer 140.6 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Seberang Jaya, pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata mangsa berusia 40 tahun dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan pada 6 pagi memaklumkan kemalangan melibatkan sebuah kereta dan sebuah motosikal.

“Siasatan awal mendapati sebuah kereta dalam perjalanan dari Juru menghala ke Seberang Jaya dipercayai melanggar tayar yang berada di tengah jalan dan disyaki tercicir daripada sebuah lori yang masih belum dikenal pasti.

“Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan sebelum sebuah motosikal datang dari arah sama turut melanggar tayar berkenaan, menyebabkan penunggangnya terjatuh serta terseret di atas permukaan jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lim berkata penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta bersama dua penumpangnya mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk menerima rawatan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan polis kini sedang mengesan pemilik tayar lori yang dipercayai menjadi punca kemalangan berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau rakaman kamera papan pemuka diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nor Aliza Fatim Ismail di talian 017-4046 215 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan