KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Pelan Induk dan Pelan Tindakan Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka dilancarkan pada suku keempat 2026, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata dokumen itu telah disediakan manakala agensi kerajaan kini berusaha untuk melaksanakan pelaburan yang telah dijanjikan bagi zon ekonomi tersebut.
"Saya berpandangan kita boleh lebih meneroka butiran dokumen itu apabila tiba masanya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Forum Eksekutif JS-SEZ 2026 di sini, hari ini.
Pelan Induk dan Pelan Tindakan Pelaburan JS-SEZ akan menjadi panduan hala tuju komprehensif, dengan menetapkan kerangka strategik, sistematik dan kolaboratif bagi fasa seterusnya pembangunan ekonomi rentas sempadan itu.
Pesuruhjaya Persekutuan dan Pengarah Pengurusan Korporat dan Kewangan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) , Nor Hisham Mohd Yusof berkata pelan tindakan yang dibangunkan dengan kerjasama Kementerian Ekonomi itu akan memperincikan bidang tumpuan pelaburan utama, sektor keutamaan, penambahbaikan infrastruktur serta pembangunan ekosistem bakat.
-- BERNAMA
