AM

OPSYEN PBU AKADEMIK FASA 2 DIBUKA, LEBIH 59,000 BEKAS PELAJAR TAJAAN JPA LAYAK MEMOHON

01/07/2026 10:52 AM

PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membuka permohonan Opsyen Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik) Fasa Kedua bermula hari ini (1 Julai) hingga 31 Ogos 2026.

Dalam kenyataan hari ini, JPA memaklumkan lebih 59,000 bekas pelajar tajaan JPA yang menamatkan pengajian pada atau sebelum 31 Dis 2024 layak memohon opsyen berkenaan.

Menurut kenyataan itu, PBU Akademik merupakan model penajaan baharu JPA yang diperkenalkan pada 1 Jun 2025 bagi menentukan kadar bayaran balik pinjaman berdasarkan pencapaian akademik pelajar. 

“Model ini memperkenalkan pendekatan baharu yang beralih daripada penentuan bayaran balik berdasarkan tempat berkhidmat kepada pencapaian akademik pelajar,” menurut kenyataan itu.

JPA memaklumkan hingga kini lebih 11,000 pelajar baharu telah menerima penajaan di bawah model PBU Akademik. 

Selain itu, lebih 23,000 pelajar sedia ada di bawah model Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Tempat Berkhidmat (PBU 2016) telah menyertai Opsyen Fasa Pertama yang dilaksanakan dari Januari hingga Mac lepas.

“Pelaksanaan Fasa Kedua ini memperluaskan manfaat PBU Akademik kepada lebih ramai bekas pelajar tajaan JPA yang memenuhi syarat kelayakan,” menurut kenyataan itu. 

JPA memaklumkan pelajar yang layak memohon ialah mereka yang menamatkan pengajian pada atau sebelum 31 Dis 2024, tidak mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman atau Elaun Terlebih Bayar (ETB), serta masih berada dalam tempoh ikatan kontrak berkhidmat dengan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat swasta.

Bagi pelajar yang masih mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman atau ETB, permohonan boleh dikemukakan selepas semua tunggakan diselesaikan.

“Opsyen ini tidak ditawarkan kepada pelajar yang ditamatkan penajaan kerana melanggar syarat Perjanjian PBU 2016, telah menyelesaikan sepenuhnya bayaran balik pinjaman atau ikatan kontrak berkhidmat di bawah PBU 2016, atau gagal melengkapkan penajaan berpakej sehingga setaraf Ijazah Pertama,” menurut kenyataan itu.

JPA memaklumkan pelajar yang layak perlu mengemas kini maklumat perhubungan melalui Portal Malaysian Student Engagement Online Feed (MySELF) sebelum mengemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan. 

“Dokumen perjanjian hendaklah ditandatangani secara dalam talian melalui sistem ePROMISE, diikuti bayaran duti setem menerusi sistem MyTAX LHDNM dalam tempoh 30 hari selepas dokumen perjanjian ditandatangani.

“Sebarang bayaran balik pinjaman PBU 2016 yang telah dibuat sebelum pelaksanaan opsyen ini tidak akan dipulangkan.

“Bekas pelajar tajaan JPA yang memenuhi syarat kelayakan disaran menyemak status masing-masing serta mengemukakan permohonan melalui Portal MySELF dalam tempoh yang ditetapkan,” menurut JPA.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan