MUKAH, 10 Jun (Bernama) -- Fasa II Projek Perluasan Bandar Baharu di Daro, yang dijadualkan siap pada November, dijangka menjadi pemangkin baharu untuk pertumbuhan ekonomi di daerah itu dan memperkukuh potensinya sebagai hab pembangunan dan pelaburan di wilayah pesisir pantai Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata projek yang dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk menggalakkan pembangunan sosioekonomi luar bandar yang terancang dan mampan.
"Pembangunan ini bertujuan untuk mewujudkan pusat aktiviti ekonomi baharu yang akan merangsang pertumbuhan tempatan, memperkasakan keusahawanan dan menarik lebih banyak pelaburan ke Daro," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek itu, di sini, hari ini.
Awang Tengah berkata Fasa I projek itu telah siap dan sudah beroperasi, manakala Fasa II terdiri daripada 20 rumah kedai dua tingkat, 10 kedai mini dua tingkat, 10 unit industri desa, tandas awam, pencawang elektrik, ruang lapang dan kemudahan tempat letak kereta.
Beliau berkata kesemua 20 rumah kedai dan 10 kedai mini itu telah ditempah sepenuhnya, mencerminkan permintaan kukuh dan potensi Daro yang semakin meningkat sebagai pusat ekonomi sedang membangun.
Katanya, pembangunan pesat Daro didorong oleh peningkatan kesalinghubungan melalui jalan raya dan jambatan baharu, yang telah meningkatkan mobiliti dan memudahkan aktiviti ekonomi.
“Penaiktarafan infrastruktur ini akan mewujudkan peluang pembangunan yang lebih luas di bandar kecil seperti Daro di samping meningkatkan daya tarikannya kepada pelabur dan usahawan,” katanya.
Awang Tengah juga memuji reka bentuk dan perancangan projek itu, dengan menyatakan ia menekankan kepada fungsi, aksesibiliti dan landskap dan menyediakan kawasan rekreasi serta ruang terbuka yang dihubungkan ke kawasan tepi laut.
--BERNAMA
