ZAPOPAN, Mexico, 11 Jun (Bernama-Yonhap) -- Pemain pertahanan Korea Selatan Kim Tae-hyeon terpaksa diketepikan akibat kecederaan buku lali pada Rabu, sehari sebelum perlawanan Kumpulan A pertama negara itu dalam Piala Dunia FIFA, lapor Agensi Berita Yonhap.
Seorang pegawai pasukan kebangsaan memberitahu wartawan, Kim mengalami kecederaan buku lali semasa sesi latihan pada Selasa di Chivas Verde Valle di Zapopan, dekat Guadalajara, dan mungkin terlepas peringkat kumpulan.
Korea Selatan bakal memulakan kejohanan menentang Czechia pada Khamis di Estadio Guadalajara.
Perlawanan seterusnya, di venue yang sama, berdepan Mexico pada 18 Jun, dan mereka akan menutup perlawanan kumpulan menentang Afrika Selatan pada 24 Jun di Monterrey, juga di Mexico.
Kim tidak mengikuti sesi latihan pada Rabu di Chivas Verde Valle dan sebaliknya melakukan beberapa senaman individu.
Kim, 25, dianggap sebagai pemain sandaran pada posisi bek tengah dan pegawai pasukan itu berkata Korea Selatan tidak akan memilih pengganti pemain yang cedera.
"Kami mempunyai cukup pemain yang boleh bermain sebagai bek tengah, seperti Lee Gi-hyuk dan Cho Wi-je," kata pegawai itu, menyenaraikan dua nama yang mungkin akan bersama veteran Kim Min-jae dalam perlawanan menentang Czechia.
"Kim Tae-hyeon akan terus memulihkan kecederaannya dan kami merancang untuk menggunakan khidmat beliau dalam pusingan 32 (jika kami layak ke peringkat itu)."
-- BERNAMA-YONHAP
