AM

HAWANA JADI HARAPAN VETERAN MEDIA PEROLEH PEMBELAAN

25/05/2026 11:37 AM

KUALA TERENGGANU, 25 Mei  (Bernama) -- Selepas puluhan tahun menjadi antara individu di belakang tabir dalam menyampaikan maklumat dan merakam perjalanan pembangunan negara, sebahagian pengamal media veteran kini berdepan cabaran meneruskan kehidupan selepas persaraan.

Tanpa jaminan pendapatan mencukupi, keperitan itu amat dirasai terutama dalam kalangan bekas wartawan, jurugambar sepenuh masa mahupun pemberita sambilan (stringer) yang pernah berkhidmat dengan syarikat media swasta tanpa mempunyai sumber pendapatan alternatif.

Sehubungan itu, mereka menaruh harapan agar sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini mampu membawa perubahan besar dalam usaha memperkasa kebajikan golongan veteran media supaya terus diberi perhatian ketika menempuh usia persaraan.

Harapan itu susulan kenyataan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada Februari lepas yang meminta Kelab Media Negeri di bawah Gabungan Kelab Media Malaysia mengemukakan usul khusus untuk dipertimbangkan sebelum sambutan HAWANA bagi memperkukuh kebajikan bekas pengamal media.

Pesara jurufotografi Jabatan Penerangan Terengganu, Shuhaimi Ahmad, 61, berkata keprihatinan serta komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan pengamal media terus diberi perhatian memberi sinar baharu, khususnya kepada mereka yang memerlukan sokongan sosial pada usia persaraan.

“Ramai pengamal media terutama di syarikat swasta bergelut dengan kehidupan kerana tidak mempunyai pencen dan terpaksa bergantung kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau simpanan sendiri.

“Bagi mereka yang berkhidmat dengan agensi dan jabatan kerajaan seperti saya, mungkin tidak banyak masalah kerana kami menerima pencen. Namun, saya lihat ada rakan-rakan yang pernah bekerja di media swasta bukan sahaja uzur, malah hidup dalam kesusahan,” katanya kepada Bernama.

Shuhaimi yang pernah berkhidmat sebagai jurugambar akhbar Berita Harian selama 20 tahun berkata situasi itu berlaku kerana sebahagian pengamal media ketika aktif bekerja hanya memperoleh pendapatan sekadar cukup menampung keperluan keluarga.

“Mungkin mereka ada simpanan atau KWSP, tetapi tidak mencukupi kerana gaji pemberita dan jurufoto sambilan sememangnya kecil. Hendak bergantung kepada anak-anak juga sukar kerana mereka mempunyai komitmen masing-masing,” katanya.

Justeru, Shuhaimi yang bersara pada April tahun lepas berharap kerajaan dapat meneliti keperluan bantuan kepada golongan itu dalam bentuk bantuan kewangan, rawatan atau barangan keperluan harian yang disalurkan secara berkala demi kelangsungan hidup mereka.

Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata cadangan yang dikemukakan gabungan kelab media itu akan dipertimbangkan sebelum sambutan HAWANA bagi membolehkan satu rangka kerja lebih sistematik disediakan untuk menjaga kebajikan pekerja sektor media.

Sehubungan itu, beliau mahu setiap kelab media negeri memainkan peranan lebih proaktif dalam mengenal pasti veteran industri yang memerlukan perhatian dan bantuan, selain menyalurkan cadangan kepada kementerian untuk tindakan lanjut.

Bekas Ketua Bahagian Rancangan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) Terengganu, Wan Abdul Rahman Hayat pula melihat keperluan mewujudkan sebuah pangkalan data bagi menghimpunkan maklumat pengamal media yang masih berkhidmat dan yang telah bersara.

“Ini bagi memastikan tiada pengamal media tercicir daripada menerima sebarang bentuk bantuan termasuk menerusi HAWANA. Pangkalan data ini penting kerana ada antara mereka malu untuk meminta bantuan sedangkan mereka amat memerlukannya.

“Cadangan menteri sangat tepat kerana hanya kelab media negeri mengenali golongan veteran dalam industri di negeri masing-masing. Dengan adanya pangkalan data itu, bantuan dapat disalurkan secara lebih bersasar mengikut situasi dan keperluan mereka,” katanya.

Wan Abdul Rahman yang bersara daripada profesion itu lima tahun lepas tidak menafikan kebanyakan nasib rakannya, khususnya yang bekerja secara sambilan, seakan-akan terbiar selepas meninggalkan kerjaya media tanpa jaringan sokongan sosial dan kewangan yang kukuh.

Bekas wartawan sambilan Harian Metro dan Sinar Harian di Terengganu, Aminudin Ismail, 61, pula menyifatkan cabaran terbesar pemberita sambilan adalah apabila mereka tidak lagi mampu bekerja akibat masalah kesihatan.

“Jasa pemberita sambilan sama seperti pemberita tetap. Namun, kami tiada simpanan KWSP dan tidak menerima ganjaran apabila menamatkan perkhidmatan.

“Diharapkan kerajaan dapat menyediakan satu mekanisme khusus untuk pemberita sambilan supaya mereka memperoleh pelbagai kemudahan selepas bersara, terutama bantuan ketika sakit,” katanya yang juga pernah berkhidmat dengan syarikat penerbitan majalah serta beberapa syarikat media lain.

HAWANA 2026 yang bakal berlangsung pada 20 Jun ini di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, Pulau Pinang mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” bagi memperkasakan peranan pengamal media dalam pembangunan negara.

Majlis kemuncak sambutan tahunan bagi menghargai jasa pengamal media anjuran Kementerian Komunikasi menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) selaku agensi pelaksana itu bakal dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan