Oleh Shuhaida Mohd Said
ALOR SETAR, 27 Mei (Bernama) -- Dalam landskap politik dan persekitaran digital yang kian kompleks dan mencabar, pengamal media khususnya yang membuat liputan di negeri ditadbir pembangkang perlu lebih berhati-hati dalam memastikan laporan kekal seimbang, adil dan tidak dilihat memihak mana-mana pihak.
Lambakan maklumat di media sosial serta persaingan untuk mendapatkan perhatian audiens telah menjadikan kredibiliti aset paling penting bagi sesebuah organisasi media, lebih-lebih lagi apabila masyarakat kini semakin peka terhadap pelaporan yang tidak konsisten.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Dr Khairun Nizam Mohammad Yusuff berkata cabaran itu lebih dirasai pengamal media yang bertugas di negeri atau wilayah yang ditadbir pembangkang kerana setiap laporan sering dinilai daripada sudut kecenderungan politik.
“Media tidak boleh terlalu keras terhadap kerajaan negeri (ditadbir) pembangkang tetapi perlu berhati-hati apabila melibatkan kerajaan pusat, atau sebaliknya. Sebagai contoh, jika media mengkritik isu tempatan seperti jalan rosak, masalah air atau kelemahan pentadbiran negeri, media juga perlu berani menegur kelewatan projek pusat jika melibatkan kepentingan rakyat.
“Harus diingat, audiens hari ini sangat peka terhadap ketidakkonsistenan. Sikap adil dan konsisten akan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap integriti media,” katanya kepada Bernama.
Khairun Nizam berkata pengamal media juga perlu memastikan setiap laporan disokong fakta yang kukuh supaya tidak mudah dipertikaikan atau dilihat bergantung kepada spekulasi atau sentimen politik semata-mata.
Beliau berkata sebelum menyiarkan sesuatu isu seperti pencemaran air, kenaikan kos sara hidup atau projek pembangunan bermasalah, media perlu mendapatkan pengesahan daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, agensi teknikal, pakar bebas dan rakyat terlibat.
“Langkah ini penting kerana dalam suasana politik sensitif, satu kesilapan kecil boleh dimanipulasi dan menjejaskan kredibiliti organisasi secara besar-besaran,” katanya.
Katanya, organisasi media juga perlu mengelakkan ‘perangkap’ budaya viral dan sensasi hanya kerana semata-mata mahu mengejar trafik serta perhatian segera kerana jika tersilap langkah, ia boleh merosakkan reputasi media dalam jangka panjang sekali gus menjejaskan kredibiliti organisasi.
“Elakkan tajuk sensasi seperti ‘Rakyat Menderita, Kerajaan Gagal Total!’. Ia mungkin menarik perhatian, tetapi boleh merosakkan reputasi media. Sebaliknya, tajuk yang lebih profesional seperti ‘Kos Sara Hidup Meningkat, Rakyat Harap Langkah Segera Kerajaan’ dilihat lebih matang dan beretika.
“Ini membantu membina imej media yang berwibawa, tenang dan tidak dilihat memanipulasi emosi pembaca demi populariti semata-mata,” katanya.
Dalam pada itu, Khairun Nizam berkata pengamal media juga perlu jelas membezakan kandungan berbentuk berita, analisis dan editorial.
“Contohnya, laporan berita hanya menyampaikan fakta seperti pengumuman kerajaan mengenai pelan mitigasi banjir. Analisis pula membincangkan sejauh mana pelan itu mampu menyelesaikan masalah jangka panjang, manakala editorial boleh mengambil pendirian bahawa kerajaan perlu lebih telus dalam pelaksanaan projek.
“Pendekatan ini membolehkan audiens membezakan fakta, tafsiran dan pendirian organisasi dengan lebih jelas sekali gus meningkatkan profesionalisme serta mengurangkan persepsi berat sebelah,” katanya.
Beliau juga menyifatkan tema ‘Media Berintegriti, Teras Kredibiliti’ bagi Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 amat bertepatan dengan usaha memperkukuh kepercayaan masyarakat serta memastikan maklumat yang disampaikan media arus perdana terus dihormati dan diyakini.
Sambutan HAWANA 2026 bagi menghargai jasa pengamal media dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang pada 20 Jun ini dan majlis kemuncak akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA
