AM

BPT SPRM SYOR PERKUKUH TATAKELOLA APAD

21/05/2026 10:38 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (BERNAMA) – Sebanyak tiga cadangan penambahbaikan tatakelola telah dibentangkan oleh Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berhubung amalan, sistem dan tatacara kerja pengurusan kenderaan perdagangan.

Cadangan itu ialah APAD mengeluarkan arahan mandatori yang mewajibkan syarikat pengendali kenderaan perdagangan membuat semakan rekod lesen GDL dan PSV pemandu melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai prasyarat pengambilan pemandu.

Cadangan kedua membabitkan pembangunan sistem pangkalan data pemandu bersepadu melibatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan bagi merekod serta menjejak sejarah lesen GDL dan PSV pemandu, termasuk jenis kesalahan, status penggantungan dan kelayakan, bagi tujuan tapisan pengambilan kerja, pemantauan dan penguatkuasaan.

Cadangan ketiga pula ialah mewujudkan aplikasi pengisytiharan kendiri (self-declaration) oleh pemandu kenderaan perdagangan sebelum dan selepas pemanduan yang menekankan konsep ‘fit to work’, pengurusan risiko sebelum tugas serta pengesahan pematuhan keselamatan secara digital.

Kesemua syor itu telah disampaikan oleh Ketua Cawangan D BPT SPRM, PPj Nik Nor Azleen Mohammed dalam sesi pembentangan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Perdana, Ibu Pejabat APAD, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Pengarah APAD, Ahmad Radhi Maarof menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh SPRM dan menyatakan komitmen untuk meneliti syor-syor yang dibentangkan bagi memperkukuh aspek keselamatan serta tadbir urus pengurusan kenderaan perdagangan. 

Komitmen tersebut turut dizahirkan melalui Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang disempurnakan oleh Ahmad Radhi dan disaksikan oleh Timbalan Pengarah II BPT SPRM, Ahmad Shukri Mohamad Taib.

Cadangan penambahbaikan itu adalah berdasarkan susulan beberapa insiden kemalangan maut melibatkan kenderaan berat seperti lori dan bas yang telah mencetuskan kebimbangan masyarakat serta menjadi isu nasional. 

Kajian tersebut bertujuan mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam amalan, sistem dan tatacara kerja sedia ada bagi memperkukuh aspek keselamatan serta keberkesanan pelaksanaan fungsi kawal selia oleh APAD.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan SPRM dalam memperkasakan tadbir urus sektor awam melalui pendekatan pencegahan dan penambahbaikan tatakelola bagi meningkatkan integriti, kecekapan penyampaian perkhidmatan serta keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.

---BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan