Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali & Nur Atiq Maisarah Suhaimi
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Ketua-ketua perwakilan asing di Malaysia merakamkan ucapan tahniah kepada Bernama sempena ulang tahun ke-59, sambil memuji komitmen pertubuhan berita nasional itu dalam menyampaikan laporan yang berwibawa dan tepat pada masanya serta peranannya yang berterusan dalam membentuk landskap media negara.
Duta Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata menyifatkan Bernama sebagai peneraju berita yang dipercayai sejak penubuhannya.
Beliau berkata Bernama terus memainkan peranan positif dalam menyumbang ke arah hubungan Malaysia-Jepun yang lebih erat.
“Kami menyampaikan ucapan setinggi-tinggi tahniah daripada Kedutaan Jepun di Malaysia kepada Bernama sempena ulang tahun ke-59! Bernama merupakan peneraju berita yang hebat dan dipercayai.
“Kami amat berterima kasih atas sokongan Bernama yang sangat baik dalam merapatkan hubungan Jepun dan Malaysia. Semoga Bernama terus diraikan dengan gemilang dan mencapai kejayaan berterusan pada masa depan,” katanya.
Turut merakamkan ucapan tahniah, Duta Itali ke Malaysia Raffaele Langella menyifatkan ulang tahun ke-59 itu sebagai bukti kepentingan Bernama dalam ekosistem maklumat negara.
“Selama hampir enam dekad, Bernama memainkan peranan penting dalam menyampaikan berita yang boleh dipercayai dan tepat pada masanya, sekali gus menyumbang kepada kefahaman awam serta pengukuhan landskap media Malaysia.
“Semoga Bernama terus mempertahankan kecemerlangan dalam kewartawanan dan mencapai kejayaan lebih besar pada tahun-tahun mendatang,” kata Langella.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia Ajay Sharma CMG menekankan peranan penting Bernama dalam memastikan orang ramai mendapat akses kepada maklumat yang telus.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada pertubuhan berita nasional Bernama sempena ulang tahun ke-59. Ia memainkan peranan penting dalam memastikan rakyat Malaysia mendapat akses kepada berita dan maklumat,” katanya.
Ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968, Bernama terus berkembang seiring landskap media yang dinamik sebagai agensi berita pelbagai platform utama Malaysia, menyampaikan berita yang dipercayai serta menghubungkan negara dengan dunia.
-- BERNAMA
