SEPANG, 21 Mei (Bernama) -- Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 iaitu Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali sebagai Haroqs telah menerima ugutan dipercayai daripada proksi rejim zionis Israel.
Sehubungan itu, Ketua Pengarah SNCC Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata beberapa langkah keselamatan terhadap Haroqs, 26, serta ibunya telah dilaksanakan dengan ketat.
“Salah seorang daripada peserta kita, anak muda kita iaitu saudara Hareez ataupun Haroqs. Beliau telah diugut dalam satu sosial media yang diyakini proksi kepada pihak penjajah.
“Kita telah terus memaklumkan perkara ini kepada pihak kerajaan kerana keselamatan bukan sahaja beliau di sana tetapi keselamatan ibunya (Malaysia),” katanya pada sidang media perkembangan Misi GSF 2.0, di sini, hari ini.
Beliau berkata SNCC telah diberi jaminan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai keselamatan Haroqs dan ahli keluarganya.
“Saya telah diberi jaminan oleh Perdana Menteri bahawa kita akan minta pihak Turkiye memantau (keselamatan Haroqs) kerana Turkiye ni dia ada intelligence (risikan) dan dia ada hubungan diplomatik,” katanya.
Portal media tempatan juga melaporkan keluarga Haroqs dipercayai turut menerima ugutan daripada pihak dikaitkan dengan Mossad.
Perkara itu tercetus susulan satu hantaran tular oleh akaun tidak rasmi di platform X dikenali sebagai Mossad Commentary yang memuat naik gambar serta video memaparkan wajah aktivis berkenaan sehingga mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial dari Malaysia.
Dalam hantaran tersebut, akaun berkenaan menulis kapsyen: “Ini adalah salah seorang aktivis Global Sumud Flotilla. Jika anda mengenali ibunya, beritahu dia, dia (Haroqs) okey. Saya pasti dia sedang bimbang tentangnya.”
Terdahulu, Sani Araby berkata Kesemua 428 aktivis kemanusiaan GSF 2.0, termasuk 29 rakyat Malaysia yang ditahan Israel di perairan antarabangsa kini dibebaskan dan dijangka pulang ke tanah air pada Ahad ini.
— BERNAMA
