KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membincangkan pelaksanaan langkah keselamatan dalam talian, termasuk cadangan pengesahan umur bagi pengguna bawah 16 tahun bersama wakil organisasi masyarakat sivil (CSO) dalam satu sesi libat urus hari ini.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan sesi itu merupakan sebahagian daripada pendekatan terbuka suruhanjaya berkenaan dalam mendapatkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan berkaitan perlindungan kanak-kanak dalam talian.
Menurut kenyataan itu, sesi berkenaan yang dihadiri 12 wakil daripada 57 organisasi yang dijemput turut membincangkan penggunaan mekanisme pengesahan umur serta pembangunan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code).
“MCMC mengambil maklum pandangan yang dikemukakan dan akan meneliti secara terperinci setiap perkara yang dibangkitkan, termasuk aspek perlindungan data, pelaksanaan teknikal serta implikasi kepada pengguna.
“Keutamaan MCMC adalah untuk memastikan persekitaran dalam talian yang lebih selamat, khususnya bagi kanak-kanak dan keluarga, serta memperkukuh perlindungan pengguna dalam ekosistem digital negara melalui pendekatan yang inklusif, praktikal dan berkesan,” menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan inisiatif berkenaan bertujuan mendapatkan pandangan, maklum balas dan cadangan daripada pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha memperkukuh pendekatan kawal selia yang lebih menyeluruh, seimbang dan berkesan.
Sesi berkenaan turut menyaksikan pembentangan oleh Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Dr Farah Nini Dusuki yang juga ahli Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian, serta wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Siti Kamsiah Hassan.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dan timbalannya Datuk Lim Thean Shiang
-- BERNAMA
