AM

AMANAHRAYA PERKUKUH AGENDA ESG MELALUI INISIATIF 5R AND TRASH FOR CASH

21/05/2026 09:34 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) memperhebat agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) apabila berjaya mengumpulkan kira-kira 730 kilogram bahan kitar semula menerusi program “AmanahRaya Love & Care: 5R & Trash for Cash”.

Program dengan kerjasama SWCorp Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Vista Tower, The Intermark Kuala Lumpur itu mencerminkan komitmen berterusan AmanahRaya dalam mempromosikan pengurusan sisa secara berhemah, budaya kerja mampan serta meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan warga kerjanya.  

Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Perniagaan dan Operasi Kumpulan AmanahRaya Jack Yap Ngee Heong berkata program itu merupakan sebahagian daripada pelan hala tuju ESG AmanahRaya, ke arah mencapai sasaran kelestarian 2030, khususnya dalam usaha mengurangkan sisa operasi serta membudayakan amalan mesra alam sekitar di seluruh organisasi.

 Beliau berkata pelbagai aktiviti interaktif dan berunsurkan pendidikan diadakan termasuk kempen kitar semula di peringkat syarikat, sesi kesedaran amalan 5R iaitu Refuse (tolak), Reduce (kurangkan), Reuse (guna semula), Recyle (kitar semula), dan Recover (pemulihan), panduan pengasingan sisa secara praktikal oleh SWCorp Wilayah Persekutuan serta pameran berkaitan inisiatif ESG, inovasi kitar semula dan gaya hidup lestari.

“Inisiatif yang mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kerja Kumpulan AmanahRaya ini membuktikan komitmen AmanahRaya dalam menerapkan budaya kelestarian dalam operasi harian dan budaya korporat organisasi.  

“Kelestarian merupakan tanggungjawab bersama dan perubahan tersebut boleh dimulai dengan aktiviti harian yang kita lakukan dalam sesebuah organisasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi program itu, AmanahRaya berusaha membudayakan kesedaran dan tanggungjawab terhadap alam sekitar di tempat kerja sambil menyokong aspirasi kelestarian negara.

Sejak pelan ESG diperkenalkan pada 2023, AmanahRaya telah melaksanakan pelbagai inisiatif kelestarian yang memberi fokus kepada pengurangan sisa daripada operasi langsung syarikat dan berjaya melepasi sasaran awal pengurangan sisa operasi sebanyak 10 peratus. 

Antara langkah yang telah dilaksanakan termasuk mengurangkan penggunaan kertas melalui inisiatif pendigitalan, meminimumkan amalan percetakan serta menghapuskan penggunaan botol air plastik sekali guna dalam program dalaman dan luaran syarikat.  

AmanahRaya juga komited untuk mencapai sasaran ESG bagi mengurangkan sisa operasi sebanyak 30 peratus menjelang 2030 menerusi pelaksanaan amalan mampan secara berterusan, penglibatan warga kerja dan program kesedaran alam sekitar.

Sebagai Pemegang Amanah Awam tunggal di Malaysia, AmanahRaya percaya bahawa kelestarian  perniagaan bukan sahaja berdasarkan kepada produk dan perkhidmatan terasnya, malah menerusi amalan sosial korporat yang memberi nilai tambah dan impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar keseluruhan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan