PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Setiap keputusan berkaitan projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang dibuat berasaskan pertimbangan teknikal, perundangan dan fiskal yang teliti demi memastikan rakyat negeri itu dapat menikmati kemudahan sistem pengangkutan awam tersebut.
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan keputusan untuk menggunakan mekanisme kaedah Single-Sourcing Permintaan untuk Cadangan (RFP) bagi perolehan kontrak pakej pertama projek itu adalah bagi mengelakkan pertikaian kontrak dari segi perundangan.
“Untuk memahami kenapa kaedah RFP digunakan, perlu difahami terlebih dahulu sejarah penuh projek ini. Projek ini pada asalnya adalah projek Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
“Model pembiayaannya adalah melalui hasil jualan tanah daripada tiga pulau yang akan ditambak di selatan Pulau Pinang, dikenali sebagai Projek Penang South Islands (PSI),” demikian menurut kenyataan itu.
Untuk melaksanakan PTMP ini, MOT memaklumkan kerajaan negeri melantik SRS Consortium Sdn Bhd sebagai Rakan Pelaksana Projek (PDP) melalui tender terbuka pada Ogos 2015.
Pada Mac 2024, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membiayai dan mengambil alih sepenuhnya LRT Laluan Mutiara daripada kerajaan negeri atas syarat projek tambak dihadkan kepada satu pulau sahaja dengan MRT Corp dilantik sebagai pemaju dan pemilik aset projek.
“Apabila Kerajaan Persekutuan mengambil alih, ia tidak mempunyai obligasi kontrak terus dengan SRS Consortium, kerana obligasi asal itu adalah antara syarikat itu dan kerajaan negeri,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, MOT memaklumkan SRS Consortium telah terlibat dalam projek tersebut sejak peringkat awal dan memiliki pengetahuan institusi serta teknikal yang mendalam berkaitan penjajaran landasan, kajian kejuruteraan, kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Skim Kereta Api yang kesemuanya dibiayai oleh syarikat itu sendiri.
“Kesinambungan ini merupakan pertimbangan penting bagi mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur awam yang kritikal ini.
“Akibat peralihan projek dari negeri ke persekutuan, keputusan untuk menggunakan mekanisme single-source ini dibuat berikutan permintaan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, bagi mengelakkan pertikaian kontrak dari segi perundangan, memandangkan SRS Consortium telah dilantik sebagai PDP untuk PTMP melalui tender terbuka oleh kerajaan negeri pada 2015,” menurut MOT.
Mekanisme Single-Sourcing RFP ini berbeza dengan rundingan terus yang tidak melibatkan sebarang proses kompetitif terdahulu.
“Walaupun kaedah Single-Sourcing RFP digunakan, ini tidak bermakna kontrak diberikan tanpa semakan teliti.
“Selepas dilantik sebagai pemaju dan pemilik aset projek, MRT Corp menjalankan penilaian kejuruteraan terperinci dan kajian infrastruktur bagi memperhalusi penjajaran landasan kereta api, skop kerja, dan menilai semula anggaran kos projek terkini,” menurut kenyataan itu.
Sebagai sebahagian daripada proses ini, MOT memaklumkan MRT Corp turut mendapatkan penilaian kos bebas daripada dua firma juruukur bahan yang berasingan.
“Selepas keputusan Kabinet pada Mac 2024, proses rundingan perolehan kontrak bermula pada April 2024 dan berlangsung selama lebih kurang lapan bulan. Sepanjang tempoh ini, MRT Corp telahpun menjalankan penilaian komersial, teknikal, dan kos yang menyeluruh bagi memastikan projek ini mencapai nilai yang optimum.
“Seterusnya, kontrak ini turut tertakluk kepada Value Management Exercise pada April 2025 sebagai sebahagian daripada langkah pengoptimuman kos berterusan. Langkah ini menghasilkan jumlah kontrak muktamad sebanyak RM7.93 bilion,” menurut kenyataan itu.
Bagi pakej kedua dan ketiga projek ini, proses tender terbuka diwajibkan, mencerminkan komitmen kerajaan terhadap ketelusan dan persaingan sihat dalam perolehan awam.
-- BERNAMA
