KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Quick Response Team berupaya membantu setiap kementerian dan agensi kerajaan mengenal pasti isu yang berpotensi tular serta menyelaras komunikasi secara pantas, menyeluruh dan tuntas.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pasukan itu penting bagi memastikan setiap isu atau dasar kerajaan dapat dijelaskan dengan baik sekali gus meredakan kekeliruan rakyat.
“Quick Response Team satu keupayaan untuk mengenal pasti isu yang mungkin akan jadi viral…untuk memberikan komunikasi yang menyeluruh dan tuntas supaya tidak membelenggu kementerian (dan) jabatan (supaya dapat) menjelaskan dengan baik dan meredakan (kekeliruan rakyat),” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 bagi Kementerian Komunikasi.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil, Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin serta Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) Datuk Roslan Ariffin.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata kementerian berada di barisan hadapan dalam memastikan penyampaian dasar kerajaan dapat difahami rakyat dengan baik, malah sering dikaitkan apabila sesuatu dasar kerajaan tidak dapat dijelaskan secara berkesan.
“Bila sesuatu dasar daripada mana-mana kementerian lain yang dirasakan tidak dapat disampaikan dengan baik, yang sering disebut ialah komunikasi yang belum berjaya,” katanya.
Justeru, beliau berkata peranan warga kementerian menjadi semakin penting kerana memiliki keupayaan besar dalam membantu menyampaikan maklumat kerajaan kepada rakyat secara berkesan.
Sementara itu, Fahmi mengingatkan penjawat awam supaya mengamalkan perbelanjaan berhemah susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada rantaian bekalan dunia.
Beliau berkata kerajaan juga memberi jaminan bahawa bekalan minyak dan keperluan asas negara mencukupi sehingga akhir tahun hasil usaha pelbagai pihak termasuk Petronas.
“Kalau kita pergi ke kedai jangan panik, beli apa yang perlu dan tinggalkan untuk kawan-kawan yang lain, jiran dan sebagainya untuk membeli,” katanya.
Mengenai majlis berkenaan, Fahmi berkata seramai 687 kakitangan Kementerian Komunikasi dan agensi menerima APC 2025 dengan 535 penerima adalah dari Zon Semenanjung yang diraikan hari ini.
Zon Semenanjung melibatkan 66 penerima daripada Kementerian Komunikasi; RTM (234); Jabatan Penerangan (121); Jabatan Komunikasi Komuniti (JKom - 18); IPPTAR (lapan); Bernama (63); dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) (25).
-- BERNAMA
