SUKAN

LIGA BOLA SEPAK RAKYAT PAHANG 1ST INISIATIF KUKUHKAN PEMBANGUNAN BOLA SEPAK NEGERI

20/05/2026 11:08 PM

KUANTAN, 20 Mei (Bernama) -- Kejohanan Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st bagi merebut Piala Al-Sultan Abdullah yang dilancarkan hari ini merupakan antara inisiatif kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan bola sepak di Pahang. 

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata langkah penting ini antara lain bagi membuka ruang kepada anak muda menyerlahkan bakat dan potensi mereka dalam sukan berkenaan. 

“Saya yakin program sebegini mendatangkan minat kepada anak muda dan dalam masa sama kita nak mereka sertai aktiviti sihat serta memberi manfaat selain inisiatif ini juga dapat mencungkil bakat mereka.  

“Di samping itu, saya melihat langkah ini juga dapat mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan memupuk semangat kesukanan serta kerjasama dalam komuniti,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kejohanan berkenaan di Stadium Darul Makmur di sini malam ini. 

Dalam masa yang sama, beliau berkata kejohanan melibatkan sukan lain seperti  pickleball mungkin akan dianjurkan, namun bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan negeri. 

Liga Bola Sepak Rakyat Pahang 1st 2026 yang dianjurkan buat julung-julung kali dijangka menghimpunkan sebanyak 112 pasukan dari seluruh negeri sekali gus menjadikannya antara kejohanan bola sepak rakyat terbesar pernah dianjurkan di negeri ini.

Saingan peringkat pertama dijadual berlangsung bermula 20 Jun hingga 26 Julai menggunakan format kumpulan sebelum diteruskan ke pusingan 16 terbaik pada awal Ogos.

Kemuncak kejohanan akan berlangsung di Stadium Darul Makmur menerusi aksi suku akhir pada 15 Ogos, separuh akhir (22 Ogos) serta perlawanan akhir dan penentuan tempat ketiga pada 29 Ogos.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan