AM

KERAJAAN PERSEKUTUAN, PAHANG PERHEBAT KERJASAMA PENGURUSAN SUMBER ASLI

19/05/2026 08:47 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pahang komited memperkukuh kerjasama strategik dalam pengurusan sumber asli, pemuliharaan biodiversiti dan agenda perubahan iklim demi menjamin kelestarian alam serta kemakmuran rakyat.

Komitmen itu dizahirkan pada sesi kunjungan hormat Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail terhadap Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup di Putrajaya hari ini.

Arthur menerusi hantaran di Facebook berkata sesi berkenaan menjadi platform penting untuk mempererat hubungan antara kedua-dua pihak, khususnya dalam memastikan pengurusan sumber asli dilaksanakan secara mampan.

“Negeri Pahang terus mendahului negeri di Semenanjung dengan mengekalkan 56.36 peratus litupan kawasan berhutan daripada keseluruhan keluasan tanah negeri.

“Usaha murni ini disokong penuh melalui penyaluran peruntukan Ecological Fiscal Transfer (EFT) berjumlah RM18.477 juta bagi tahun ini sebagai insentif pemuliharaan kawasan perlindungan dan biodiversiti,” menurut hantaran tersebut.

Arthur berkata kementerian turut komited memastikan pembangunan industri mineral termasuk bauksit dan Unsur Nadir Bumi (REE) di Pahang dilaksanakan berteraskan tadbir urus yang ketat, bertanggungjawab dan mematuhi standard keselamatan tinggi.

Beliau berkata sinergi antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri Pahang akan terus dipertingkatkan bagi menyokong usaha menjadikan Lipis Geopark sebagai Aspiring UNESCO Global Geopark menjelang 2027 serta memperkukuh persediaan Aspiring Maran–Chini Geopark ke arah pengiktirafan rasmi.

Bagi menangani konflik manusia dengan gajah serta melindungi hidupan liar terancam, kementerian meneruskan pelaksanaan inisiatif mitigasi fizikal termasuk projek Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) Kota Gelangi.

Selain itu, beliau berkata kebajikan komuniti setempat turut diberi perhatian menerusi Program Renjer Komuniti (BP3) yang melibatkan veteran Angkatan Tentera Malaysia dan masyarakat Orang Asli, selain pelaksanaan skim Bantuan Kerugian Harta Benda (BKHT) bagi membantu rakyat yang terjejas.

“Kelulusan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) membuka lembaran baharu dalam memajukan pasaran karbon yang berintegriti tinggi. Langkah ini bakal memacu pelaburan teknologi rendah karbon serta mewujudkan peluang pekerjaan hijau pada peringkat domestik.

“Kerjasama erat dan persefahaman jalinan muhibah ini akan terus diperkukuh bagi menjamin kelestarian alam sekitar demi kemakmuran ekonomi jangka panjang generasi masa hadapan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan