AM

KEMPEN INTERNET SELAMAT MEDIUM TINGKAT KESEDARAN IBU BAPA PANTAU PENGGUNAAN INTERNET ANAK

18/05/2026 03:56 PM

KANGAR, 18 Mei (Bernama) -- Kempen Internet Selamat merupakan medium berkesan meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai kepentingan memantau penggunaan internet dan gajet dalam kalangan kanak-kanak bawah umur bagi melindungi mereka daripada terdedah kepada kandungan tidak sesuai di media sosial.

Seorang penjawat awam, Ainul Hanina Halim, 32, berkata kempen itu membuka mata ibu bapa supaya tidak membiarkan anak-anak menggunakan internet tanpa pemantauan memandangkan pelbagai kandungan negatif dan iklan tidak bersesuaian boleh muncul ketika mereka melayari internet.

Ainul Hanina berkata kempen itu menekankan kepentingan ibu bapa memberi peringatan kepada anak-anak mengenai bahaya penggunaan internet tanpa pemantauan dewasa selain memantau kandungan yang dilayari terutama apabila anak-anak menggunakan gajet untuk tujuan pembelajaran.

“Saya dan suami sentiasa memantau penggunaan gajet oleh tiga anak saya yang berusia antara tiga hingga 10 tahun termasuk mengehadkan masa penggunaan gajet,” katanya.

Beliau ditemui Bernama selepas taklimat Kempen Internet Selamat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Perlis sempena Karnival D'Bendang Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bintong 2026, di sini, hari ini.

Untuk rekod, Kempen Internet Selamat mula dilaksanakan pada tahun lepas melibatkan 8,979 sekolah di seluruh negara dengan penglibatan 420,290 pelajar manakala fokus kempen itu tahun ini pula perlu melibatkan komuniti termasuk pemantauan aktiviti anak-anak menggunakan media sosial oleh ibu bapa.

Berkongsi pendapat sama, seorang suri rumah Nor Azlina Mohd Noor, 38, pula berkata ibu bapa pada masa kini perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memantau penggunaan internet dalam kalangan anak-anak memandangkan mereka mudah terdedah kepada pengaruh luar menerusi media sosial.

Beliau berkata pelaksanaan kempen itu secara tidak langsung mengingatkan ibu bapa untuk mengehadkan tempoh penggunaan gajet oleh anak-anak selain keperluan ibu bapa mengetahui aplikasi dan kandungan yang diakses mereka.

“Ini supaya mereka (anak-anak) tidak terjebak dengan perkara yang boleh menjejaskan perkembangan emosi dan pembelajaran. Kadang-kadang anak-anak ini bila pegang telefon (telefon pintar) boleh tengok macam-macam, jadi kita kena selalu pantau dan tengok apa mereka buka.

“Bila ada kempen macam ini, sekurang-kurangnya ibu bapa lebih sedar tentang bahaya internet dan pentingnya kawal penggunaan gajet anak-anak,” katanya yang mempunyai dua anak berumur dua dan lapan tahun.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan