AM

PERLINDUNGAN PERKESO PEKERJA GIG AKTIF SEBAIK DAFTAR, TERIMA TUGASAN PERTAMA

19/05/2026 10:54 AM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Perlindungan keselamatan sosial bagi pekerja gig di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872), akan bermula aktif sebaik sahaja mereka mendaftar dengan penyedia platform dan menerima tugasan pertama.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mekanisme perlindungan secara pascabayar itu, memperuntukkan perlindungan bagi tempoh setahun kepada pekerja gig sebaik memenuhi dua prasyarat awal berkenaan.

Menurut kenyataan itu pendekatan tersebut, diperincikan semasa sesi pembentangan RUU Akta 872 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, bertujuan meredakan kebimbangan pekerja yang menjana pendapatan secara separuh masa atau sambilan.

“Selepas memenuhi dua prasyarat awal, status perlindungan Perkeso masih aktif, walaupun pekerja gig tidak menerima tempahan selama beberapa hari atau belum sempat mencukupkan bayaran caruman minimum, iaitu RM13.10 sebulan.

“Perkeso kekal komited untuk memudah cara dan menangani sebarang kerenah birokrasi terhadap penguatkuasaan Akta 872, demi memastikan hak pekerja gig kekal terbela khususnya dalam mendapat perlindungan keselamatan sosial,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi mengulas laporan media mengenai kebimbangan Persatuan Rakan Penghantar Melaka (RPM), berhubung jaminan dan status perlindungan mereka menerusi skim LINDUNG Kendiri.

Perkeso menjelaskan Seksyen 83(e) Akta 872 memperuntukkan kewajipan kepada penyedia platform, untuk memaklumkan kepada pekerja gig supaya membayar baki caruman bulanan minimum.

Peruntukan itu terpakai sekiranya jumlah caruman yang dipotong oleh penyedia platform tidak mencapai kadar minimum caruman berdasarkan pendapatan bulanan yang diinsuranskan, seperti yang dipilih di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.

Bagi memudahkan pemantauan, Perkeso berkata pekerja gig juga boleh menyemak jumlah caruman terkumpul dan status perlindungan menerusi aplikasi Prihatin.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan