KUALA BERANG, 19 Mei (Bernama) -- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membuktikan bahawa institusi pengajian tinggi bukan sekadar pusat penyebaran ilmu, tetapi turut berperanan sebagai ejen perubahan masyarakat apabila berjaya mentransformasikan Kampung Menerong menerusi pelaksanaan inisiatif Kampung Angkat MADANI.
Naib Canselor UMT Prof Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata melalui peruntukan sebanyak RM1 juta yang disalurkan pada Mac tahun lepas, pelbagai projek pembangunan dan kesejahteraan komuniti berjaya dilaksanakan melibatkan kawasan masjid, balai raya serta kawasan rekreasi Lubuk Bayas yang menjadi tumpuan utama penduduk kampung.
Beliau berkata usaha berkenaan bukan hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya menjadi manifestasi komitmen universiti dalam memperkasakan kesejahteraan komuniti secara menyeluruh dan mampan.
"Pada Januari 2025, Kementerian Kewangan telah mengamanahkan UMT dengan inisiatif Pelaksanaan Kampung Angkat MADANI, dan bermula daripada titik itulah UMT bertungkus lumus menjadikan inisiatif ini satu realiti. Peruntukan sebanyak RM1 juta disalurkan pada Mac 2025 bagi menaik taraf kawasan tumpuan utama di Kampung Menerong yang telah dipersetujui melibatkan kawasan masjid, balai raya dan kawasan rekreasi di Lubuk Bayas.
"Alhamdulillah, pelaksanaan kerja-kerja naik taraf tersebut telah berjaya disempurnakan dengan teratur dan berfokus, sekali gus mula memberikan manfaat kepada komuniti setempat selaras dengan aspirasi Program Kampung Angkat MADANI yang menekankan pembangunan komuniti secara inklusif, mampan dan berdaya saing," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Program Kembara Pendidikan Tinggi@Terengganu bersempena dengan majlis penyerahan Kampung Angkat MADANI UMT, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) baharu Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Mengulas lanjut, Mohd Zamri berkata perubahan itu bukan sahaja dapat dilihat dari sudut fizikal dan infrastruktur, malah turut menyuntik semangat baharu kepada komuniti dalam mewujudkan persekitaran yang lebih harmoni, sekali gus melonjakkan daya tarikan Kampung Menerong sebagai destinasi yang kaya dengan sumber alam dan keunikan tersendiri untuk dikunjungi.
Dalam pada itu, beliau berkata kehadiran UMT ke kampung berkenaan bukan sekadar membawa pembangunan fizikal, namun pelbagai inisiatif kemasyarakatan telah dan sedang dilaksanakan bagi memperluas peluang ekonomi serta sosial dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan bersama secara lebih menyeluruh dan berterusan.
"Antara projek yang dilaksanakan ialah Projek Ternakan Kelulut di bawah dana SejaTi MADANI dan Komuniti@UniMADANI yang berjaya melahirkan usahawan serta membuka peluang penjanaan ekonomi berasaskan madu dan agropelancongan, dengan pendapatan komuniti mencecah hingga RM2,000 sebulan.
"Galeri Kelulut Menerong yang menggunakan tenaga solar turut diwujudkan oleh komuniti. Di samping itu, komuniti Kampung Menerong turut diberi peluang untuk menyertai pelbagai pameran serta jualan produk madu termasuk di Kuala Lumpur," katanya.
Beliau berkata Program Keusahawanan Cendawan Tiram di bawah inisiatif Komuniti@UniMADANI telah memberikan pendedahan dan latihan menyeluruh merangkumi aspek penanaman, pengurusan, pemasaran serta pembangunan produk hiliran berasaskan cendawan.
"Inisiatif ini turut membuka ruang penjanaan pendapatan dengan anggaran pendapatan kira-kira RM500 hingga RM1,200 sebulan, sekali gus memperkukuh daya tahan ekonomi komuniti setempat," katanya.
-- BERNAMA
