AM

AIAC LANCAR INISIATIF PENGANTARAAN KOMERSIAL PRO BONO UNTUK PERLUAS AKSES KEPADA KEADILAN

18/05/2026 07:15 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) hari ini secara rasmi melancarkan Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono sekali gus menandakan satu langkah penting dalam memperluas akses rakyat kepada keadilan dan mengurangkan beban sistem mahkamah di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata inisiatif itu mencerminkan nilai dan komitmen kerajaan dalam memastikan keadilan dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kewangan.

“Hari ini, inisiatif yang dilancar bukan sekadar satu program tetapi juga manifestasi nilai dan komitmen.

“Ia menegaskan semula keyakinan kita bahawa keadilan tidak seharusnya diukur berdasarkan kemampuan kewangan sebaliknya harus kekal boleh diakses oleh setiap individu dan perniagaan yang mencari penyelesaian secara adil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran inisiatif itu yang bertemakan “Echoes of Justice: Bridging Pro Bono, Accessibility & Expertise” di Auditorium AIAC di sini.

Azalina berkata inisiatif itu secara langsung menangani cabaran yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana, syarikat pemula dan perniagaan biasa yang sering berdepan pertikaian undang-undang yang boleh menjejaskan kelangsungan operasi mereka namun tidak memiliki sumber kewangan mencukupi untuk menempuh proses perbicaraan mahkamah yang panjang.

Selaras dengan pelancaran inisiatif itu, beliau berkata kerajaan kini meneliti semula Akta Pengantaraan 2012 bagi meneroka reformasi yang lebih menyeluruh termasuk kemungkinan memperkenal pengantaraan mandatori bagi kategori tertentu melibatkan tuntutan kecil dan pertikaian komersial.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AIAC Datuk Almalena Sharmila Johan dalam ucapan alu-aluannya berkata inisiatif berkenaan adalah manifestasi langsung tanggungjawab besar pusat tersebut untuk memperjuangkan rangka kerja penyelesaian pertikaian yang bukan sahaja bertaraf dunia dari segi kualiti tetapi juga adil dan mudah diakses oleh semua pihak.

“Selaras dengan usaha Kerajaan Malaysia memperluas akses awam kepada keadilan melalui pengantaraan, inisiatif ini bertujuan menawarkan perkhidmatan pengantaraan komersial secara percuma yang dikendalikan secara profesional bagi pertikaian bernilai RM250,000 dan ke bawah,” katanya sambil menambah permohonan boleh dibuat sama ada secara dalam talian atau datang terus ke pusat berkenaan.

Beliau turut memaklumkan bahawa kes pengantaraan secara pro bono akan dikendali mengikut protokol khusus yang disediakan dalam empat bahasa utama iaitu Bahasa Melayu, Mandarin, Tamil dan Bahasa Inggeris.

Presiden Mahkamah Timbang Tara AIAC Datuk Mary Lim Thiam Suan pula berkata walaupun proses ke mahkamah boleh menjadi mahal dan berpanjangan, pengantaraan menawarkan pilihan lebih sihat kepada pihak yang bertikai untuk mengawal semula konflik mereka, memulihkan hubungan serta mencari penyelesaian jangka panjang.

“Pro bono hanya bermaksud tanpa bayaran, bukannya tanpa kelayakan atau kurang dari segi kepakaran,” katanya sambil menambah kriteria pemilihan yang ketat dilaksana bagi memastikan tahap standard tinggi dikekalkan.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap sambutan luar biasa daripada komuniti perundangan, dan memaklumkan bahawa AIAC telah merekodkan lebih 150 pengantara yang layak serta bersedia menyertai inisiatif ini termasuk bersetuju mengecualikan bayaran bagi masa serta usaha mereka.

Turut hadir Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi, Timbalan Pengerusi AIAC Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri Datuk Zamri Misman serta ahli-ahli utama Lembaga Pengarah AIAC.

Pada sidang media selepas itu, Azalina berkata pertikaian komersial melibatkan tuntutan RM250,000 dan ke bawah dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh lima hari melalui Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono.

“Kalau boleh, saya mahu ia diselesaikan dalam tempoh kurang daripada lima hari... saya mahu mereka cuba selesaikan dalam masa tiga hari... jika semua pihak bersetuju untuk bertemu, pengantaraan boleh diselesaikan dengan cepat... jika tidak, ia boleh mengambil masa bertahun-tahun seperti mahkamah… dan kita tidak boleh memaksa mahkamah untuk mempercepat pendengaran kes,” katanya.

Beliau berkata skop pertikaian komersial yang diliputi termasuk perkhidmatan, pembekalan, jual beli, perdagangan dan pemasaran, hartanah, syarikat dan perkongsian, e-dagang serta ekonomi digital.

Azalina juga berkata pengantaraan, apabila diterima secara meluas akan menjadi mekanisme penyelesaian di luar mahkamah yang berkesan bagi mengurangkan litigasi tidak perlu, dan memberikan penyelesaian lebih pantas serta praktikal kepada pihak yang bertikai.

“Di sebalik setiap pertikaian komersial, ia melibatkan pembekuan aset, hubungan tegang, keputusan perniagaan tertangguh, aliran tunai terganggu dan sumber pendapatan yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata pertikaian yang diselesaikan dengan cepat melalui pengantaraan mampu menjimatkan ketidakpastian, kos serta gangguan operasi selama berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun, dan inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh akses kepada keadilan tetapi juga menyumbang kepada daya tahan ekonomi jangka panjang selain keyakinan perniagaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan