Oleh Nur Faradilla Mohamad
KLUANG, 19 Mei (Bernama) -- Peranan suri rumah sebagai nadi dan tunjang keharmonian keluarga terus dihargai menerusi inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) yang disifatkan bukan sekadar bantuan kewangan tetapi pengiktirafan terhadap “wirawati tidak didendang”.
Rata-rata penerima di kawasan Machap di sini memaklumkan mereka terharu dengan inisiatif berkenaan, yang membuktikan kerajaan menghargai sumbangan mereka menguruskan rumah tangga 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu, meskipun tanpa slip gaji atau caruman tetap.
Nor Saydatul Natrah Elias, 33, dari Kampung Sari di sini berkata bantuan wang tunai RM200 itu dapat meringankan beban kewangan suaminya yang mengusahakan bengkel motosikal dengan pendapatan tidak menentu.
“Ini kali pertama dapat bagi kategori suri rumah dan rasa dihargai kerana ‘pekerjaan’ kami ini tak pernah habis tetapi tiada gaji,” selorohnya ketika ditemui Bernama pada majlis penyerahan bantuan itu oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi di Dewan Terbuka Kampung Baru Cina Machap pada Sabtu lepas.
Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Machap menyampaikan bantuan itu kepada 1,867 suri rumah melibatkan peruntukan berjumlah RM373,400 bagi kawasan berkenaan.
Nor Saydatul Natrah yang mempunyai tiga anak berusia sembilan bulan hingga sembilan tahun berkata anggaran perbelanjaan keluarganya berjumlah RM1,000 sebulan dan bantuan itu sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kepada mereka.
Nor Amirah Abdullah, 37, yang senada dengan pendapat itu berkata pemberian berkenaan boleh digunakan untuk membantu suaminya membeli barang keperluan rumah, khususnya menjelang sambutan Aidiladha tidak lama lagi, dengan program Jualan Kasih Johor (JKJ) menjadi lokasi utamanya membuat pembelian.
“Suami saya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan tidak menentu mengikut trip perjalanan, jadi bila beli barang di JKJ yang menawarkan harga 30 peratus lebih murah dapatlah kami berjimat,” katanya.
Karen Kaur, 38, pula berkata beliau memilih untuk tidak bekerja bagi menguruskan sendiri dua anaknya, termasuk menghantar dan mengambil mereka dari sekolah yang mengambil masa kira-kira 40 minit perjalanan pergi dan balik.
“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban suami yang bekerja sebagai kelindan lori besi buruk dan bolehlah digunakan untuk membeli barangan dapur,” katanya.
Karen berkata BKJ juga membuktikan golongan sepertinya tidak tercicir daripada bantuan kerajaan dan berharap inisiatif itu dapat diteruskan bagi menghargai peranan mereka yang mencurahkan sepenuh masa dan tenaga dalam menguruskan kesejahteraan keluarga.
Koh Qi Yu, 29, yang mempunyai seorang anak perempuan berusia enam tahun berkata beliau sangat menghargai bantuan itu, apatah lagi selepas memilih untuk berhenti kerja bagi memberi sepenuh tumpuan kepada anaknya.
“Saya mahu menggunakan BKJ ini bagi membeli barang keperluan anak. Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memastikan kebajikan kami terbela,” katanya.
Maslia Mastur, 58, dari Kampung Parit Haji Basri yang hadir berkerusi roda berkata beliau akan menggunakan bantuan itu bagi menampung perbelanjaan harian dan ubat-ubatan.
“Sebelum ini, saya pernah berniaga kedai makan tetapi sejak dua tahun lepas hanya bergantung kepada anak dan suami yang bekerja sebagai buruh selepas mengalami masalah kesihatan,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Sementara itu, Onn Hafiz berkata sebanyak RM27.2 juta diperuntukkan untuk BKJ yang memberi manfaat kepada 136,000 suri rumah tidak bekerja di seluruh Johor.
Beliau berkata lebih RM2.48 juta di bawah BKJ Fasa Empat telah disalurkan bagi Dewan Undangan Negeri Machap melibatkan hampir 12,000 penerima pelbagai kategori sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat di negeri itu.
-- BERNAMA
