AM

JKR LABUAN LAKSANA INISIATIF CSR DEMI KHIDMAT KOMUNITI

19/05/2026 09:01 AM

LABUAN, 19 Mei (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Labuan telah melaksanakan 55 inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sejak 2025, mencerminkan komitmen berterusan mereka dalam menyokong komuniti setempat di luar bidang kuasa rasmi jabatan itu.

Pengarah JKR Labuan Mohd Faizul Ali Hanapiah berkata pasukan tindak balas kecemasan jabatan itu, telah melaksanakan 41 aktiviti CSR sepanjang 2025 dan 14 lagi setakat tahun ini, meliputi kemudahan awam, kawasan komuniti, institusi keagamaan, sekolah, premis kerajaan dan kawasan perumahan.

Beliau berkata inisiatif tersebut dilaksanakan demi kepentingan kebajikan awam, keselamatan komuniti dan kesejahteraan keseluruhan penduduk di pulau bebas cukai itu.

“Walaupun sebahagian kerja ini berada di luar bidang kuasa langsung JKR, kami tetap membantu sedaya upaya kerana keperluan komuniti setempat kekal menjadi keutamaan kami.

“Usaha CSR kami akan diteruskan dan kami akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan, komuniti kampung serta pihak berkepentingan tempatan bagi memastikan kemudahan awam dan kawasan komuniti kekal selamat, berfungsi dan diselenggara dengan baik,” katanya baru-baru ini.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk bantuan bekalan air dengan kerjasama Jabatan Air, kerja pembaikan jalan menggunakan kaedah carpet patching, serta kerja mengecat dan menceriakan Kompleks Kementerian Komunikasi yang menempatkan pejabat biro Bernama Labuan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan.

Mohd Faizul berkata JKR Labuan turut menyediakan bantuan logistik kepada SK Pekan Satu, melaksanakan kerja pembaikan jalan di Masjid An-Nur dan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Membedai, kerja pemotongan rumput di sebuah sekolah agama, serta pembaikan jalan di Taman Mahkota Impian.

Beliau berkata pasukan itu juga terlibat dalam kerja membersihkan pokok tumbang di kawasan perumahan, mengadakan gotong-royong bersama dengan penduduk Kampung Sungai Labu, serta menjalankan kerja pembersihan dan pembaikan susulan kejadian tanah runtuh di rumah seorang penduduk kampung.

Mohd Faizul berkata penglibatan CSR JKR Labuan melengkapi peranan lebih luasnya sebagai agensi teknikal yang bertanggungjawab menyokong infrastruktur kerajaan, penyelarasan penyelenggaraan dan kesiapsiagaan tindak balas kecemasan di Wilayah Persekutuan itu.

Beliau berkata kejayaan program CSR di pulau bebas cukai itu, serta mutu perkhidmatan tinggi yang diberikan JKR Labuan kepada rakyat, banyak disumbangkan oleh sokongan dan bimbingan penuh kepimpinan pusat JKR.

“Sokongan tersebut membolehkan JKR Labuan bertindak balas dengan lebih berkesan terhadap keperluan komuniti, khususnya dalam kerja pembaikan, bantuan kecemasan dan perkhidmatan berkaitan infrastruktur awam di seluruh pulau itu,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan