AM

61 PENDUDUK TERIMA GERAN HAK MILIK DESA KEDA

18/05/2026 07:44 PM

SIK, 18 Mei (Bernama) -- Sebanyak 61 penduduk menerima geran hak milik Desa Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), sekali gus menamatkan penantian mereka selama 20 tahun.

Pengerusi KEDA Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kesemua penerima melibatkan penduduk di empat Desa KEDA, iaitu Desa KEDA Sungai Semiar, Telaga Batu, Bendang Man dan Sungai Senam yang berjaya memenuhi syarat ditetapkan bagi proses pemberian hak milik.

"Program penyerahan geran hak milik Desa KEDA dilaksanakan sejak 2015 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan KEDA dalam memastikan penduduk Program Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) memperoleh hak milik sah terhadap lot kediaman mereka,” katanya. 

Mahdzir berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Hak milik Desa KEDA Daerah Sik di Desa KEDA Sungai Semiar dekat sini, hari ini.

Beliau berkata sebanyak 1,602 unit daripada keseluruhan 3,860 unit rumah di 44 PPRT KEDA berjaya dipindah milik kepada penduduk yang layak.

"Antara desa yang terlibat di daerah Sik ialah Desa KEDA Gulau, Bendang Man, Sungai Semiar, Sungai Senam, Telaga Batu dan Kota Aur yang merangkumi 552 rumah melibatkan perumahan tradisional dan PPRT.

"Penyerahan geran ini dilihat sebagai satu lagi komitmen berterusan KEDA dalam memperkasakan pemilikan hartanah penduduk luar bandar serta meningkatkan kesejahteraan komuniti desa di Kedah," katanya.

Sementara itu, pasangan suami isteri Mohamad Rosdi Kasim, 54, dan Faizah Ramli, 47, meluahkan rasa syukur apabila penantian selama 20 tahun lepas untuk mendapatkan geran hak milik tanah kediaman mereka akhirnya berakhir.

Mohamad Rosdi berkata khabar gembira itu disifatkan sebagai rezeki menjelang sambutan Aidiladha yang akan diraikan tidak lama lagi.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan