AM

ASINGKAN PERBELANJAAN PERIBADI, PERNIAGAAN DALAM BORANG B - LHDN

19/05/2026 12:21 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan individu yang menjalankan perniagaan supaya lebih teliti ketika membuat tuntutan perbelanjaan semasa melaporkan pendapatan menerusi Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) atau Borang B.

Eksekutif Hasil Kanan II Jabatan Khidmat Korporat LHDN Mohamad Nasir Mohamed Nazri berkata tidak semua perbelanjaan layak dituntut sebagai kos perniagaan, sebaliknya hanya yang berkaitan secara langsung dengan operasi dan aktiviti perniagaan sahaja dibenarkan.

“Individu terlibat disaran supaya bijak mengasingkan perbelanjaan perniagaan dan peribadi bagi mengelakkan sebarang kesalahan ketika menghantar serta melaporkan pendapatan masing-masing.

“Pematuhan tepat dalam pelaporan cukai penting bagi memastikan proses taksiran berjalan lancar, selain mengelakkan tindakan penguatkuasaan pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Klinik Cukai terbitan Bernama Radio, hari ini.

Mohamad Nasir berkata perbelanjaan yang dibenarkan mempunyai ciri-ciri tertentu antaranya mestilah belanja yang pasti dan benar-benar berlaku serta tidak semestinya melibatkan aliran keluar tunai seperti pemberian sampel barang niaga kepada pelanggan dan kerugian akibat penyelewengan pekerja.

“Selain itu, perbelanjaan tersebut hendaklah dibuat sepenuhnya bagi tujuan menjana pendapatan, contohnya gaji pekerja, pembelian bahan mentah atau stok niaga, sewa premis, pembaharuan lesen perniagaan dan bil utiliti.

“Tuntutan juga boleh dibuat bagi perbelanjaan dalam tempoh perniagaan iaitu pada tahun yang sama walaupun belum dibayar seperti belian secara hutang, serta belanja untuk menghasilkan pendapatan kasar walaupun pendapatan itu belum diperoleh dalam tahun yang sama,” katanya.

Mengenai perbelanjaan yang tidak dibenarkan, Mohamad Nasir berkata ia merangkumi perbelanjaan peribadi, gaji pemilik, perbelanjaan modal, pembelian aset perniagaan, kos permulaan penubuhan perniagaan, susut nilai, ambilan tunai atau stok, kos perjalanan dari rumah ke premis perniagaan serta penalti atau denda.

Beliau berkata pengiraan cukai berbeza daripada penyata untung rugi perniagaan dan kerugian yang dialami boleh dibawa ke tahun hadapan untuk ditolak daripada keuntungan masa hadapan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pembayar cukai untuk mengemukakan Borang B atau e-B bagi Tahun Taksiran 2025 selewat-lewatnya pada 15 Julai 2026 menerusi perkhidmatan e-Filing di portal MyTax.

Beliau berkata kegagalan menghantar dan melaporkan pendapatan dalam tempoh ditetapkan boleh menyebabkan individu berdepan tindakan pendakwaan jenayah di mahkamah, selain risiko audit terhadap perniagaan mereka.

Mohamad Nasir berkata sekiranya tidak pasti mengenai kaedah pengiraan cukai atau pengisian borang, pembayar cukai boleh mendapatkan khidmat nasihat menerusi portal rasmi HASiL, HASiL Contact Centre atau hadir ke pejabat HASiL berhampiran.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan