AM

HORMATI MANDAT RAKYAT, JANGAN SENGAJA KOSONGKAN KERUSI PARLIMEN - AZALINA

18/05/2026 05:23 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Ahli Parlimen mahupun wakil rakyat diingatkan supaya menghormati mandat rakyat dengan menyelesaikan tempoh perkhidmatan penuh selama lima tahun sebelum mengambil sebarang keputusan politik peribadi termasuk bertukar parti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata perbuatan itu serta tindakan mengosongkan kerusi Parlimen secara sengaja hanya akan merugikan rakyat yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Saya tidak boleh memberikan respons (mengenai tindakan peribadi ahli politik), itu hak demokrasi masing-masing, tetapi kasihanilah kepada rakyat, pengundi. Bagi saya, mereka mengharapkan wakil rakyat itu ada untuk berkhidmat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono di bawah Pusat Mediasi MADANI di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas situasi atau spekulasi melibatkan tindakan segelintir ahli politik yang dilaporkan mahu mengosongkan kerusi Parlimen.

Azalina turut menasihati pemimpin parti politik agar mengutamakan tanggungjawab serta khidmat bakti kepada masyarakat selagi Parlimen belum dibubarkan.

Sementara itu, mengulas tentang keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH), Azalina berkata kerjasama berkenaan berada dalam keadaan baik dan mesyuarat Kabinet berjalan dengan lancar seperti biasa.

"Kita mempunyai klausa mediasi dalam perjanjian antara PH dengan BN. Pada pandangan saya, mana-mana pihak kalau tidak puas hati patut menggunakan klausa itu kerana ia perjanjian yang kita persetujui bersama," kata Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan