EKONOMI

ADB SOKONG INISIATIF US$70 BILION UNTUK HUBUNGKAN GRID TENAGA ASIA, RANGKAIAN DIGITAL

03/05/2026 09:12 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Bank Pembangunan Asia (ADB) akan menyokong inisiatif infrastruktur digital dan tenaga baharu bernilai US$70 bilion menjelang 2035, bertujuan menghubungkan grid kuasa, mengembangkan perdagangan elektrik rentas sempadan dan meningkatkan akses jalur lebar di seluruh Asia dan Pasifik. 

Presiden ADB, Masato Kanda berkata tenaga dan akses digital akan menentukan masa depan rantau itu dan kedua-dua inisiatif tersebut membina sistem yang diperlukan oleh Asia dan Pasifik untuk berkembang, bersaing serta berhubung. 

“Dengan menghubungkan grid kuasa dan rangkaian digital merentasi sempadan, kita dapat mengurangkan kos, meningkatkan peluang dan membawa kuasa yang boleh dipercayai dan akses digital kepada ratusan jutaan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurut ADB, pelan itu merangkumi Inisiatif Grid Kuasa Pan-Asia (PAGI) bernilai US$50 bilion dan projek teknologi dan ketersambungan digital sebanyak US$20 billion.

Selain itu, ADB berkata inisiatif PAGI akan memberi tumpuan kepada integrasi penghantaran dan grid, termasuk talian rentas sempadan, pencawang, storan serta pendigitalan grid. 

Menjelang 2035, ADB menyasarkan untuk mengintegrasikan kira-kira 20 gigawatt tenaga boleh baharu merentasi sempadan, menghubungkan 22,000 litar sepanjang kilometer talian penghantaran, menambah baik akses tenaga untuk 200 juta penduduk, mewujudkan 840,000 pekerjaan dan mengurangkan pelepasan sektor kuasa serantau sebanyak 15 peratus. 

“ADB menjangkakan untuk membiayai kira-kira separuh daripada inisiatif US$50 bilion daripada sumbernya sendiri dan mengumpul selebihnya menerusi pembiayaan bersama, termasuk daripada sektor swasta.

“Bantuan teknikal sehingga US$10 juta akan menyokong usaha untuk menyelaraskan peraturan, menerima pakai piawaian teknikal yang sama, menyediakan kajian kebolehlaksanaan dan memajukan kerja lain yang diperlukan bagi projek-projek utama,” kata bank itu. 

ADB menyatakan bahawa Lebuhraya Digital Asia-Pasifik akan menggerakkan US$20 bilion menjelang 2035 bagi membiayai koridor digital, infrastruktur data dan ekonomi sedia AI. 

Menurut ADB, pelaburan akan memberi tumpuan kepada infrastruktur yang terhubung, termasuk rangkaian gentian terestial dan dasar laut, pautan satelit dan pusat data serantau. 

“ADB akan membiayai US$15 bilion daripada inisiatif US$20 bilion ini daripada sumbernya sendiri dan mengumpul US$5 bilion melalui pembiayaan bersama, termasuk daripada sektor swasta,” tambahnya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan