JENAYAH & MAHKAMAH

ANGGOTA POLIS KES TULAR DIDAKWA AMBIL WANG DITUKARKAN SEMENTARA TUNGGU SIASATAN

05/05/2026 09:27 PM

SERI ISKANDAR, 5 Mei (Bernama) -- Anggota polis yang didakwa mengambil wang daripada seorang lelaki seperti yang tular di media sosial baru-baru ini ditempatkan di bahagian pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh sementara menunggu hasil siasatan lanjut.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata kes itu telah dirujuk kepada Bukit Aman selepas Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri selesai menjalankan siasatan penuh terhadap anggota tersebut.

“Ada beberapa butiran yang kita jumpa daripada siasatan sebelum ini... buat masa ini, kita hanya tunggu arahan selanjutnya dari Bukit Aman,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Module On The Current Trends Of Commercial Crimes sempena Karnival Pintar Siber Universiti Teknologi Petronas 2026 di sini hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi 46 saat memaparkan seorang anggota polis yang didakwa mengambil wang daripada seorang lelaki.

-- BERNAMA

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan