AM

KPKT, AIRBNB KERJASAMA SEDIA 50 RUMAH SEMENTARA UNTUK MANGSA KEBAKARAN SANDAKAN

01/05/2026 03:48 PM

SANDAKAN, 1 Mei (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bekerjasama dengan Airbnb bagi menyediakan 50 rumah sementara selama 28 hari kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia secara percuma.

Timbalan Menterinya Datuk Aiman Athirah Sabu berkata inisiatif itu sebagai memberikan tempoh bertenang kepada mangsa kebakaran besar pada 19 April lepas, memandangkan pusat pemindahan sementara akan ditutup pada 2 Mei ini.

“Sepertimana pengalaman kita membabitkan kejadian letupan di Putra Heights, Selangor, kita bekerjasama dengan Airbnb dalam penyediaan rumah sementara, dan kita juga lakukan di sini bagi mangsa kebakaran Kampung Bahagia.

“Itu antara perkara yang KPKT ikhtiarkan dan jumlah itu akan dilihat dari semasa ke semasa kerana  setakat ini yang ada kelapangan untuk 50 rumah,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Sibuga, di sini hari ini.

Pada dua minggu lepas, kebakaran di Kampung Bahagia di sini memusnahkan kira-kira 1,000 rumah selain menjejaskan lebih 9,000 penduduk. 

Sementara itu, Aiman Athirah berkata KPKT melalui Jabatan Perumahan Negara  menyegerakan  peruntukan RM3.7 juta untuk program penyenggaraan perumahan, termasuk kerja-kerja projek perumahan rakyat di Sandakan.

Beliau berkata difahamkan terdapat 70 unit yang perlu diselenggara dan setelah itu, penempatan rumah perlu diberikan keutamaan kepada mangsa kebakaran.

Di samping itu, kementerian mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Negeri Sabah, khususnya untuk menyediakan pilihan perumahan kepada mangsa .

“Misalnya, terdapat 30 kekosongan rumah di Residensi  Pr1ma Borneo Cove yang boleh diberikan keutamaan kepada mangsa-mangsa ini, perkara ini akan diselaraskan bersama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).

“Kita juga ada satu lagi residensi Elopura yang kini mencapai 92 peratus pembinaan dan dijangka siap hujung tahun ini, terdapat 750 unit rumah dan perumahan ini boleh dijadikan PPR untuk mangsa kebakaran,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan